APG: Kem olahraga pecut awal dengan empat emas, dua perak

Iklan
Mohamad Ridzuan meraikan kejayaannya selepas memenangi pingat emas dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) pada temasya Sukan Para ASEAN 2022 Solo pada Isnin. - Foto Bernama
SKUAD olahraga Malaysia ke Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di sini, memulakan kempen dengan langkah kanan apabila berjaya menggondol empat pingat emas dan dua perak pada hari pertama acara trek dan padang membuka tirai di Stadium Manahan di sini.

Juara Sukan Para Asia 2018, Eddy Bernard berjaya melakukan lompatan bergaya untuk meraih pingat emas lompat jauh lelaki T44/64 (kecacatan fizikal) dengan lompatan sejauh 6.48 meter (m) mengatasi Ryan Arda (5.74m) dari Indonesia dan Denpoom (5.20m) dari Thailand.

Ia juga merupakan pencapaian terbaik atlet berusia 21 tahun berkenaan pada tahun ini, mengatasi catatan 6.36m yang direkodkan ketika kejohanan di Paris, April lepas.

"Saya bersyukur dan gembira kerana dapat memperbaiki lompatan yang mengatasi rekod Sukan Para Asia 2018 (6.30m). Ia memberikan semangat tambahan untuk berjuang lebih baik pada pertandingan-pertandingan akan datang seperti APG Kemboja tahun depan,” katanya.

Skuad olahraga terus cemerlang apabila pembawa Jalur Gemilang Mohd Zikri Zakaria mengungguli acara lontar peluru F53-55 (berkerusi roda), mengatasi rakan sepasukan Muhammad Amirul Alif Abdul Raof (8.63m) dan Joel Balatucan (8.31m) dari Filipina.

Sementara itu, bekas juara dunia dan pemenang emas Paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi turut beraksi dengan baik untuk merangkul emas acara 100m lelaki T36 (cerebral palsy) dengan catatan 12.220s, manakala M. Habib dari Indonesia menamatkan larian dengan masa 13.900s.

Namun, pingat perak tidak dihadiahkan kerana hanya dua peserta beraksi dalam acara berkenaan.

Terdahulu, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Mohamad Aliff Mohamad Awi masing-masing menyumbang pingat emas dan perak pertama menerusi acara lontar peluru F20 (masalah intelektual) dengan lontaran sejauh 16.92m dan 13.46m.- Bernama