Tidak terlambat untuk hijaukan Tasik Chini

Iklan
Penarikan taraf rizab biosfera bermakna Tasik Chini akan hilang pengiktirafan bertaraf dunia.

PERTUBUHAN Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mendapati Tasik Chini di Pahang tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) UNESCO dan berisiko dilucutkan status sebagai rizab biosfera.

Ini susulan kegiatan perlombongan dan pembalakan yang berleluasa di sekeliling tasiknya sehingga meracuni air dan memusnahkan habitat semula jadi berhampiran kawasan yang berkeluasan 6,992.97 hektar itu.

Iklan
Iklan

UNESCO bagaimanapun memberi tempoh kepada Malaysia sehingga 30 September ini untuk memaklumkan badan dunia itu mengenai perancangan merawat dan memulihkan Tasik Chini serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.

Sekiranya gagal, Tasik Chini akan dilucutkan status tersebut.

Pada Isnin, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi bertitah supaya kerajaan Pahang bertindak lebih agresif dalam memastikan Tasik Chini dapat dipulihkan dan dihijaukan semula seperti sebelum ini.

Iklan

Tengku Hassanal bertitah bahawa baginda menyokong langkah moratorium yang dilaksanakan kerajaan negeri di kawasan tasik tersebut dan mahu supaya pajakan lombong yang telah tamat tempohnya perlu dihijaukan semula dalam masa terdekat.

Baginda sebelum ini juga berkali-kali bertitah supaya kerajaan negeri dan kerajaan pusat mempertahankan pengiktirafan bertaraf dunia Tasik Chini sebagai permata alam sekitar di Pahang dan Tapak Rezab Biosfera UNESCO yang pertama di negara ini.

Iklan

Mengikut rekod, tasik air tawar yang kedua terbesar di Malaysia dengan kawasan tanah lembap di sekelilingnya itu diiktiraf oleh UNESCO pada 2009 sebagai rizab biosfera pertama negara di mana pembangunan secara mampan sepatutnya diamalkan untuk melindungi ekosistem yang rapuh.

Dua lagi tapak biosfera di Malaysia yang mendapat pengiktirafan UNESCO adalah Banjaran Crocker, Sabah dan Bukit Bendera di Pulau Pinang

Jadi tidak terlambat untuk menyelamatkan status biosfera itu sekiranya dalam tempoh 30 hari ini, semua pihak termasuk pelombong dan pelesen sedia ada memberikan komitmen serta turut sama menjayakan usaha merawat dan memulihkan Tasik Chini.