POLIGAMI menjadi antara isu sensitif untuk dibicarakan secara umum kerana setiap orang mempunyai pandangan atau pendapat berbeza mengenai perkara itu.
Bagi pelakon, Mia Ahmad dia berkongsi rasa kagum dengan wanita yang menjalani kehidupan bermadu. Bagaimanapun, dia menegaskan dirinya bukanlah seorang yang rela berkongsi kasih suami dengan wanita lain.
"Saya tidak akan rela untuk berkongsi kasih dengan wanita lain. Tapi saya sangat hormat dengan wanita yang melakukannya (hidup bermadu),” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Nur 2 yang berlangsung di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kemelut rumah tangga dengan suaminya, yang juga penjaga gawang JDT, Mohd Izham Tarmizi, wanita berusia 28 tahun ini memberitahu, mereka dalam proses memulihkan perkahwinan yang dibina sejak 17 Januari 2017 itu.
"Hubungan saya dan suami kini dalam proses pemulihan untuk kami saling kenal dan memperbaiki kekurangan dalam hubungan.
"Apabila memilih untuk kembali ke pangkuan suami, saya kini sedaya-upaya harus melupakan semua kisah yang melukakan demi rumah tangga kami.
"Saya memang tak nak ingat dah perkara yang lalu sebab ia terlalu perit untuk ditelan. Malah kehadiran anak, Sayf Issa telah mengikat lagi kasih sayang di antara saya dan suami,” jelasnya sambil menahan sebak.
Mia dan Izham berkahwin pada 17 Januari 2017 di Taiping, Perak selepas setahun menjalin hubungan istimewa.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Sayf Issa yang kini berusia enam bulan.
Bagaimanapun sekitar akhir tahun lalu, Mia mendedahkan wujud orang ketiga dalam rumah tangga yang dibina.