PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kedua-dua objek yang ditemui di dua lokasi berasingan di Sarawak disahkan tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba.
Menurutnya, dua objek yang disyaki serpihan roket negara China jatuh pada Ahad lalu adalah selamat untuk dijalankan siasatan dan analisa.
"Untuk langkah selanjutnya, MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kedua-dua objek yang ditemui itu bagi menentusahkan sama ada objek tersebut ada kaitan dengan insiden kemasukan semula (re-entry) serpihan (debris) roket Long March 5B milik negara China ataupun tidak," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, hasil siasatan dan analisa terhadap objek itu akan dimaklumkan.
"Tindakan sewajarnya akan dipertimbangkan selaras Akta 834 (Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022) dan triti antarabangsa berkaitan angkasa di bawah kendalian United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA)," katanya.
Objek pertama bersaiz lima inci ditemui di Kampung Nyalau, Bintulu manakala objek kedua dikesan di Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri, Sarawak.
"Siasatan awal ini juga bagi memastikan tiada sebarang unsur radiasi berbahaya yang mungkin dikeluarkan oleh objek yang disyaki, sebelum siasatan selanjutnya dapat dilaksanakan," ujarnya.
Awal pagi Ahad lalu, proses 're-entry' serpihan roket itu dapat dilihat dan dirakam penduduk negeri itu sekitar jam 12.50 pagi sebelum dikongsi di media sosial yang kemudiannya menjadi tular.
Roket Long March 5b dilancarkan dari tapak pelancaran Wenchang Spacecraft pada 24 Julai untuk menghantar modul Wentian ke stesen angkasa Tiangong.
Disebabkan seretan atmosfera yang kuat pada orbit rendah bumi, serpihan itu memasuki atmosfera bumi beberapa hari selepas penghantaran tersebut.