MoU lebih RM4 bilion bakal ditandatangani sepanjang MAHA 2022

Iklan
Ronald Kiandee
KUALA LUMPUR - Beberapa memorandum persefahaman (MOU) melibatkan nilai pelaburan lebih RM4 bilion akan ditandatangani sepanjang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang berlangsung dari 4 hingga 14 Ogos ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, MAHA 2022 juga dijangka menghasilkan lebih RM250 juta potensi nilai jualan.

"Ini tidak termasuk sesi padanan perniagaan melibatkan lapan syarikat ejen pemasar dari luar negara sebagai satu daripada usaha untuk membawa hasil serta produk agromakanan tempatan ke pasaran antarabangsa,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) mengenai jangkaan manfaat yang akan terhasil menerusi penganjuran MAHA pada tahun ini.

Ronald berkata, penganjuran MAHA 2020 bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ turut menyediakan peluang kerjaya kepada golongan muda serta graduan yang sedang mencari pekerjaan menerusi Program Jamin Kerja dalam segmen Agro Job Fair.

"Lebih 100 syarikat akan turut serta dalam program ini yang menawarkan lebih 15,000 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor,” katanya.

Ronald berkata penganjuran MAHA 2022 akan menjadi platform utama dalam usaha kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memacu pemulihan sektor agromakanan negara selain membantu usahawan tani untuk pulih semula dari aspek penjanaan sumber pendapatan dan seterusnya menjamin sekuriti makanan negara.

Beliau berkata MAHA 2022 yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 6 Ogos ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor mempamerkan sebanyak 1,500 reruai pameran dan gerai jualan pemain industri dan usahawan tempatan.

Menurutnya, pelaksanaan MAHA 2022 buat julung kalinya akan dianjurkan secara hibrid iaitu kombinasi fizikal dan maya. -Bernama