Jumlah terkini pengundi muda 1.2 juta

Iklan
SPR merekodkan kira-kira 1.2 juta pemilih berumur 18 hingga 20 tahun melalui pewartaan daftar pemilih tambahan bulan Mei lalu. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan kira-kira 1.2 juta pemilih berumur 18 hingga 20 tahun melalui pewartaan daftar pemilih tambahan bulan Mei lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, secara keseluruhan, jumlah pemilih terkini adalah seramai 21,113,234 orang dengan 94 peratus adalah pengundi berumur 21 tahun ke atas.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu katanya, SPR melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah melaksanakan Program Pendidikan Pengundi bagi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang pentingnya demokrasi melalui proses pilihan raya.

"Susulan penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021, telah menyaksikan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang dimana 1.2 juta orang adalah terdiri daripada golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun.

Iklan

"Pertambahan pengundi di kalangan generasi muda adalah wajar dan mustahak bagi kerajaan untuk memastikan golongan ini bersedia dari aspek pengetahuan dan pemupukan nilai-nilai dalam membentuk negara bangsa terutama hak mengundi sebagai rakyat Malaysia,”katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan pengundi muda dan apakah langkah kerajaan bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman golongan belia pengundi muda mengenai demokrasi berparlimen dan tanggungjawab membina negara bangsa khususnya dalam memilih pemimpin berwibawa khususnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)ini.

Iklan

Tambahnya, APR melalui kerjasama pelbagai pihak seperti agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya telah mempergiat pelaksanaan Program Pendidikan Pengundi khususnya kepada golongan anak muda sama ada di peringkat institusi-institusi pengajian tinggi dan komuniti.

"Saya harap dengan adanya libat urus bukan hanya agensi tetapi dengan semua rakyat Malaysia, pemimpin masyarakat dapat membantu meningkatkan kefahaman demokrasi dalam kalangan anak-anak muda ini,” katanya.