Pesawat tanpa pemandu MALE UAS dijangka diperoleh 2025

Iklan
Ikmal Hisham ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pesawat tanpa pemandu kategori Medium-altitude Long-endurance Unmanned Aircraft System (MALE UAS) dijangka diperoleh pada 2025 dan akan mula beroperasi seawal 2026, Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, Kementerian Pertahanan telah melengkapkan semua proses penilaian tender bagi perolehan MALE UAS untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi memperkukuh penguasaan domain udara Malaysia.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, lembaga perolehan kementerian itu telah memperakukan petender yang dipilih serta dikemukakan kepada Kementerian Kewangan pada 7 Julai lepas dan keputusan muktamad akan diketahui dalam bulan ini.

"Bagi ekosistem penyelenggaraan, dilaksanakan selepas tamat tempoh waranti daripada Original Equipment Manufacturer (OEM) berpandukan kepada konsep senggaraan yang akan ditentukan TUDM.

Iklan

"Perolehan persenjataan termasuk Electronic Warfare (EW) bagi aset ini akan dilaksanakan pada fasa perolehan kedua dan ketiga dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan RMK16,” katanya menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) mengenai status tender, perolehan, penyelenggaraan bagi pesawat MALE UAS untuk kegunaan TUDM pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menjawab soalan tambahan Awang Husaini Sahari (PH-Putatan) mengenai objektif perolehan MALE UAS, Ikmal Hisham menjelaskan aset itu akan melaksanakan misi risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR) untuk mengurangkan jurang keupayaan dalam menyalurkan informasi secara near real time (NRT) kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Iklan

Beliau berkata, pembangunan keupayaan pesawat itu adalah berlandaskan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) dan selari dengan Pelan Pembangunan 4 Dimensi Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF) bagi menyokong Kertas Putih Pertahanan.

"Aset MALE UAS ini akan ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan bagi meningkatkan penguasaan domain udara TUDM khususnya dalam melaksanakan pengawasan di Laut China Selatan dan Pantai Timur Sabah,” katanya. - Bernama