KUALA LUMPUR - Platform dropship terbesar di Malaysia, Kumoten kini tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dan bercadang melebarkan sayap perniagaan ke Singapura dan Indonesia pada tahun ini.
Komuten menerima pengiktirafan kerana memiliki koleksi terbesar dalam pasaran tempatan menerusi katalog yang mengandungi lebih daripada 53,000 produk sekaligus meraih gelaran Platform Dropship Terbesar di Malaysia oleh MBOR.
Ini bermakna pengguna boleh melakukan jualan dengan memilih dan menyelaraskan sejumlah 53,000 produk ke kedai Lazada atau Shopee mereka tanpa membeli atau menyimpan stok barangan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumoten, Isaac Leong, berkata, pengiktirafan MBOR ini adalah satu kejayaan besar kepada pasukan Kumoten.
"Kami memulakan Kumoten di bawah OGN Online Sdn Bhd pada 2014 dengan misi untuk membantu penjual dalam talian memperoleh pendapatan daripada e-dagang dengan mudah, cepat dan mempunyai risiko serendah mungkin. Perniagaan kami berkembang pesat dan kini kami mempunyai 53,598 barangan di dalam sistem.
"Kami berbangga telah membantu sesetengah masyarakat mendapatkan sekurang-kurangnya pendapatan tambahan untuk menyara keluarga mereka dan menghadapi kenaikan kos sara hidup,"katanya di sini, semalam.
Isaac dan abangnya, Yew Meng bersama-sama menubuhkan syarikat tersebut yang memperkasa dan membolehkan golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Kumoten telah mencipta peluang pendapatan untuk ramai rakyat Malaysia. Antara yang mendapat manfaat daripada usaha berkenaan adalah mereka yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan, ibu bapa tunggal, pesara dan mereka yang kehilangan mata pencarian.
Menurutnya, Kumoten berikrar untuk menambah baik, menghasilkan inovasi dan membantu pelanggan mencari penyelesaian terbaik.
"Kami tetap teguh dengan misi kami untuk membantu golongan peniaga dalam talian. Kami yakin untuk mencapai sasaran ke Singapura dan Indonesia berdasarkan perkembangan pesat dan kejayaan kami selama ini,"katanya.
Sementara itu, Yew Meng berkata, Kumoten bekerjasama dengan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) menerusi inisiatif kerajaan Malaysia di bawah Inisiatif E-dagang Belanjawan 2021 yang terbukti sangat berjaya.
Di bawah inisiatif ini, Kumoten membolehkan lebih daripada 3,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro dan individu untuk menjana pendapatan daripada perniagaan secara dropship di Lazada dan Shopee.
"Kami juga bekerjasama dengan PERKESO di bawah inisiatif PEMERKASA. Menerusi program ini, hampir 1,200 rakyat Malaysia yang hilang pekerjaan ketika pandemik menyertai usaha ini.
"Dengan serendah RM69, Kumoten menyediakan risiko paling rendah kepada individu yang mahu memulakan perniagaan. Tidak seperti perniagaan tradisional, peniaga dropship tidak perlu membeli atau menyimpan stok untuk jualan dan seseorang itu boleh mula menjual barangan mereka serta-merta,”katanya.
Menurutnya, pihaknya akan terus melaksanakan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan untuk meneliti produk baharu yang boleh membantu peniaga dalam talian menjana pendapatan pada kadar yang lebih pantas dan lebih mudah.