WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada petang Isnin mengumumkan bahawa pemimpin al-Qaeda Ayman al-Zawahiri terbunuh dalam satu serangan dron di Kabul, Afghanistan pada hujung minggu.
"Saya meluluskan serangan tepat bagi menghapuskannya dari medan perang. Tiada orang awam terbunuh," lapor Agensi Berita Xinhua, memetik sidang media Biden dari Anjung Bilik Biru, Rumah Putih.
Al-Zawahiri, 71, mengambil alih kepemimpinan al-Qaeda pada 2011 selepas pemimpin terdahulu, Osama bin Laden terbunuh dalam serangan tentera AS di Abbottabad, Pakistan.
Pengumuman Biden dibuat hampir setahun selepas tentera AS berundur dari Afghanistan yang ditaklukinya sebagai tindak balas terhadap serangan 9/11 pada 2001.
Menurut Biden, al-Zawahiri turut terlibat dalam komplot merancang serangan 9/11.
"Dia menyelaras cawangan dan pergerakan al-Qaeda di seluruh dunia termasuk menentukan cawangan mana yang perlu diberikan tumpuan dalam memberikan panduan operasi mengikut keperluan selain merancang serangan ke atas sasaran AS,” katanya.
Menurut Xinhua, seorang pegawai pentadbiran menerangkan kepada pemberita serangan dron itu dilakukan di Kabul pada pagi Ahad. Dron berkenaan membedil bertubi-tubi ke arah al-Zawahiri yang ketika itu berdiri di anjung rumah tempat dia bersembunyi.
Persediaan untuk operasi itu dikatakan mengambil masa berbulan-bulan. Biden meluluskan serangan itu pada 25 Julai semasa beliau dikuarantin di Rumah Putih kerana jangkitan Covid-19, menurut pegawai itu.
Lebih 929,000 orang maut selepas insiden serangan 9/11 akibat serangan dan keganasan berkaitan kejadian itu. Dianggarkan AS membelanjakan lebih AS$8 trilion dalam kempen berkenaan. - Bernama