ALOR GAJAH - Sebuah syarikat pengangkutan didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini pada Selasa atas pertuduhan membawa muatan pasir melebihi had dibenarkan.
Syarikat Nanyang Expertise Sdn Bhd yang diwakili Ali Katjo membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Bahiyah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, orang kena saman (OKS) didapati membawa sebuah lori treler dengan muatan pasir seberat 79,370 kilogram (kg) melebihi had dibenarkan iaitu sebanyak 51,000kg dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Perbuatan itu dilakukan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat simpang pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom) pada 12 Januari tahun lalu lebih kurang jam 12.25 tengah hari.
Pegawai Pendakwa JPJ Melaka, Mohd. Hairen Rahim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap OKS dengan mengambil kira lebihan pasir dibawa.
Manakala OKS yang tidak diwakili peguam merayu jumlah denda dikurangkan dengan alasan prestasi perniagaan yang merosot.
Mahkamah kemudian menetapkan denda RM3,000 atau penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda.
OKS kemudian membayar denda itu.