KUALA LUMPUR - Sudah tiba masa kerajaan mengubah dasar e-hailing dalam negara dan melakukan penjajaran kemudahan awam mengikut kesesuaian semasa seiring hasrat menjadikan Kuala Lumpur, bandar raya rendah karbon menjelang 2050.
Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang turut menggunakan perkhidmatan Dego Ride menuju Parlimen pada Selasa sebagai tanda sokongan e-hailing itu dimasukkan sebagai salah satu kemudahan awam yang disifatkan mampu mengatasi isu kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.
Menurutnya, kemudahan itu bukan hanya memberikan kemudahan kepada pengguna, namun turut memanfatkan orang ramai terutama golongan B40 jika sistem pengangkutan itu diuruskan dengan betul.
"Sewaktu mula diperkenalkan pada 2016, kebanyakan pengguna yang menggunakan kemudahan itu terdiri mereka yang bekerja pusat beli-belah yang balik lewat.
"Jika kemudahan ini boleh diketengahkan dan kawal-selia melalui peraturan undang-undang, saya yakin ia dapat membantu B40 yang tidak perlu keluar kos tinggi (naik e-hailing kereta) untuk jarak yang dekat," katanya pada sidang akhbar bersama Dego Ride berkenaan perkhidmatan e-hailing motosikal di Pusat Kerja Lembah Pantai pada Selasa.
Beliau berkata, aplikasi e-hailing Dego Ride telah lama bertapak di Malaysia sejak 2016, namun menghadapi pelbagai isu sebelum perkhidmatan itu dihentikan.
"Kemudian, perbincangan semula diadakan ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika itu ada menyatakan minat dan sokongan kepada aplikasi ini.
"Saya lihat pengguna jalan raya dan perkhidmatan awam menghadapi masalah 'first mile' dan 'last mile' iaitu untuk transit hub seperti ke stesen aliran transit ringan (LRT), MRT dan bas yang terpaksa guna kereta.
"Ia mampu diselesaikan dengan kemudahan e-hailing ini," katanya.
Katanya, setiap pengangkutan mempunyai risiko, namun melalui peraturan ditetapkan ia mampu meningkatkan ciri keselamatan.
"Ia memerlukan data dan kajian daripada pengendali dan juga kementerian mengikut kesesuaian jarak, lokasi dan waktu operasi yang dibenarkan.
"Dego Ride dibangunkan oleh anak muda, kerajaan perlu memberikan sokongan dan pertimbangan semula dengan membenarkan kemudahan ini diteruskan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, sifar kemalangan maut dilaporkan membabitkan pengguna perkhidmatan e-hailing motosikal itu setakat ini.
Beliau berkata, kemudahan itu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna, namun berdepan masalah mendapatkan 'rider' susulan tiada kata putus kerajaan berkenaan operasi perkhidmatan itu.
"Pada Januari 2020, kami diberikan tempoh percubaan selama enam bulan untuk beroperasi, namun sekitar Mac tahun sama, perkhidmatan itu dihentikan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Operasi kami telah bermula semula baru-baru ini namun kami tidak dapat membekalkan rider mencukupi disebabkan status e-hailing motosikal yang masih samar, orang kurang yakin untuk bekerja dalam sektor ini," katanya.
Beliau yakin, kebenaran operasi e-hailing motosikal itu akan dapat menjana peluang pekerjaan dan membantu pengguna segera sampai ke destinasi tanpa menempuh keseakan lalu lintas dengan tambang murah.