AUG 2022: Kurang pengalaman punca Renee tewas

Iklan
Renee ketika beraksi dalam acara boulder pada Isnin.

ATLET memanjat tembok negara, Renee Tan Sui Lin mengakui kurang pengalaman menjadi faktor dirinya terlepas peluang menaiki podium pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.

Penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Heriot-Watt Malaysia mengakui sedikit kecewa kerana gagal memperoleh pingat pada penampilan terakhirnya, namun ia sedikit tidak menjejaskan semangatnya untuk menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa selepas ini.

Iklan
Iklan

"Ini pengalaman pertama saya beraksi di kejohanan antarabangsa. Ia juga AUG pertama dan terakhir kerana selepas ini saya akan habis belajar.

"Sedih tiada podium buat Malaysia kerana saya mengharapkan dapat pingat gangsa. Saya tidak beraksi pada tahap sebenar kerana saya rasa dapat buat lebih bagus.

Iklan

"Jujurnya saya agak gementar dan banyak kekurangan dari pembacaan laluan. Saya perlu banyakkan lagi simulasi pertandingan dan sertai banyak kejohanan antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, atlet yang mesra disapa Renee itu terpaksa akur menamatkan kategori boulder wanita di kedudukan kelima pada aksi final di Kampus Ban Yang Noi pada Isnin.

Iklan

Dua atlet Indonesia, Widia Fujiyanti dan Kharisma Ragil Rakasiwi masing-masing memenangi emas serta perak, manakala gangsa menjadi milik Janna Tee Jia Hui dari Singapura.

Selain acara boulder, atlet berusia 22 tahun dari Kuala Lumpur itu turut menyertai kategori speed namun tewas kepada Alivany Ver Khadijah dari Indonesia di peringkat separuh akhir sebelum ini.

Selain Renee, Malaysia turut bersaing dalam acara speed dan boulder lelaki menerusi penuntut Politeknik Banting, Kevin Eddie Fred serta Ghalib Mohamad Azmi dari Universiti Teknologi MARA.