KOTA KINABALU - Seorang bekas pengarah dan pegawai kanan agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dipercayai mengemukakan tuntutan palsu dan meminta wang suapan daripada pihak kontraktor berjumlah RM230,000.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki yang berusia 44 hingga 50 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sabah pada jam 12.30 tengah hari Selasa.
Difahamkan, kedua-dua suspek telah menggunakan lesen beberapa syarikat bagi melakukan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman berjumlah lebih RM175,000 namun tiada pembekalan mahupun program dilaksanakan oleh pihak terbabit.
Bekas pengarah itu juga dipercayai menerima bayaran secara bulanan lebih RM60,000 daripada seorang kontraktor dalam tempoh 2017 hingga 2019.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 18 Akta SPRM 2009.
"Tangkapan ini adalah hasil kerjasama antara SPRM Sabah dan Unit Integriti agensi kerajaan berkenaan.
"Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah esok (Rabu) bagi tujuan permohonan reman," katanya ketika dihubungi.