Bangkai pesawat ringan dibawa keluar dari lokasi nahas

Iklan
Bangkai pesawat ringan jenis Piper 28-161 yang terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng pada Isnin telah dialihkan dari lokasi nahas pada Selasa.

IPOH - Bangkai pesawat ringan jenis Piper 28-161 yang terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng pada Isnin telah dialihkan dari lokasi nahas pada Selasa.

Kerja-kerja pengalihan dilakukan menggunakan kren dan lori bermula jam 2 petang dan selesai kira-kira jam 3.30 petang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan bangkai pesawat itu telah dibawa keluar selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa yang bertanggungjawab menjalankan siasatan.

"Bangkai pesawat telah dialihkan petang tadi (Selasa) dan akan dibawa ke hangar BATS Aviation Sdn Bhd, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS)," katanya.

Iklan

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini memaklumkan, siasatan secara terperinci berkaitan nahas itu dilakukan CAAM dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).

Siasatan dibuat di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Iklan

Insiden yang berlaku sekitar jam 8 malam itu mengorbankan seorang juruterbang, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, sementara seorang lagi, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, terselamat dengan mengalami kecederaan.

Muhammad Din Fikri yang mengalami kecederaan di kepala dan badan masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan berada dalam keadaan stabil.

Dilaporkan kemalangan terbabit melibatkan jenis pesawat Piper 28-161, pendaftaran 9M-BAA yang dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd.

Kejadian berlaku ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.