KUANTAN - Remaja perempuan berusia 15 tahun antara 419 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Ops Tapis Khas se-Malaysia yang diadakan bermula 27 sehingga 29 Julai lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu, 140 individu ditahan adalah lelaki manakala sembilan daripadanya adalah perempuan.
Menurutnya, mereka ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berusia lingkungan antara 15 hingga 61 tahun.
"Hasil daripada operasi tersebut polis juga menahan 32 individu disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya, manakala enam orang yang diambil tindakan di bawah langkah-langkah pencegahan khas (LLPK) dan 17 individu ‘wanted person’.
"Selain itu, seramai 34 penagih tegar atau penagih berulang akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Beliau berkata dalam satu sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Ramli berkata, dadah jenis syabu seberat 43.12 gram, heroin 302.97 gram dan 68.3 gram pil yaba serta 0.78 gram dadah jenis erimin 5 turut dirampas.
Sementara itu, katanya, sebanyak 103.65 liter air ketum dirampas dalam operasi kali ini dengan 29 individu daripadanya ditahan.
"Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga empat tahun atau denda sehingga RM4,000.
"Dalam serbuan itu, sebanyak RM2,561 wang tunai telah dirampas dan lapan jenis motosikal pelbagai jenama disita berjumlah RM60,000.
"Ini telah menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan air ketum berjumlah RM21,000 dan sitaan melalui operasi ini dianggarkan kira-kira RM83,561,” katanya.
Sebelum itu Ramli memaklumkan operasi selama tiga hari diadakan serentak di 11 daerah seluruh Pahang dengan menumpukan 32 port penagihan dadah selain mengadakan sekatan jalan raya dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Sisatan Perundangan Trafik (JSPT).
Jelasnya, pihak polis telah mengenal pasti port-port penagihan antaranya Felda Bukit Goh, Felda Panching Timur dan Tanah Putih di Kuantan, Tanah Lapang Batu Kapur di Temerloh, Felda Membaga di Bentong, Felda Tersang di Raub, Felda Chini di Pekan, Felda Sungai Rentang di Jerantut dan banyak lagi gugusan Felda yang terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat itu ke pusat kawalan operasi Kontinjen Pahang di talian 09-505 1999 dan juga Hotline JSJN Pahang di talian 09-5052287 atau mana-mana balai yang berdekatan.