ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa memperincikan butiran pendapatan yang dimasukkan sebagai rizab simpanan negeri yang dikatakan mencecah RM600 juta dan yang tertinggi di bawah pentadbirannya.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, dibimbangi angka tersebut hanya retorik dengan mengambil pendekatan pukul rata dan memasukkan segala bentuk pelaburan dan aktiviti ekonomi sebagai rizab negeri.
Menurutnya, perincian tersebut juga dapat mengelakkan hasil daripada sumber meragukan sehingga menyebabkan berlaku lonjakan besar dalam rizab tahunan negeri.
"Muhammad Sanusi maklumkan, jumlah itu adalah lonjakan besar berbanding hanya RM40 juta semasa pentadbiran Menteri Besar sebelum ini, bawah pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
"Diharap beliau kongsikan apakah sektor atau faktor yang menyumbang kepada lonjakan tersebut. Sekiranya lonjakan itu disebabkan oleh pembalakan secara besar-besaran atau berlaku penjualan tanah negeri atau aktiviti ekonomi tidak mesra alam, ia bukanlah perkara yang baik untuk diteruskan oleh kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Shaiful Hazizy berkata, rakyat berhak mengetahui sumber negeri terutama ketika negeri ini berdepan dengan aktiviti ekonomi yang telah memusnahkan alam sekitar.
"Saya telah rujuk Laporan Ketua Audit Negara (Negeri Kedah) berkenaan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri dari tahun 2016 hingga 2020. Rekod menunjukkan, RM40 juta yang dirujuk Muhammad Sanusi sebenarnya adalah rizab pada 2015 (jumlah tepat RM43.41 juta).
"Saya akui, pada era pemerintahan Mukhriz tersebut (2015) berlaku penguncupan dan penurunan rizab yang sangat ketara. Baki Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri menurun sebanyak RM104.83 juta atau 70.7 peratus daripada RM148.24 juta pada 2014, kepada hanya RM43.41 juta pada 2015,” katanya lagi.
Menurutnya, rizab pada 2016 merekodkan RM70.69 juta, diikuti pada 2017 sebanyak RM153.92 juta, manakala RM74.57 (2018) dan RM320.48 (2019).
"Rizab bawah pentadbiran Menteri Besar sekarang dari Pas bermula 2020 dengan kutipan sebanyak RM357.08 juta, iaitu peningkatan kutipan sekitar RM37 juta jika hendak dibandingkan dengan 2019.
"Rujukan yang lebih adil adalah pada 2019, iaitu sebelum Pas mengambil alih kerajaan. Pada masa itu, rizab negeri Kedah RM329.48 juta. Inilah yang ditinggalkan kepada kerajaan negeri yang baharu pada 2020.
"Saya tidak pasti apakah tujuan beliau merujuk kepada kutipan 2015 yang merekodkan kutipan hampir 10 kali ganda lebih kecil berbanding kutipan terakhir pada 2019,” ujarnya.
Shaiful Hazizy bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Muhammad Sanusi mahu mencipta persepsi buruk mengenai pencapaian kerajaan negeri sebelum beliau dengan menyebut kutipan terendah sebagai rujukan.
"Mungkin untuk menunjukkan pentadbiran Pas bawah beliau adalah lebih baik, umpama peribahasa ‘masuk bakul angkat sendiri’,” katanya.
Menurutnya, pencapaian rizab yang tinggi itu tidak membawa apa-apa makna sekiranya ia tidak disalurkan untuk manfaat dan kebajikan rakyat.
"Adalah lebih baik sekiranya kerajaan negeri Pas yang merekodkan rizab tertinggi membentangkan secara terperinci agenda untuk kebajikan dan pembangunan yang jauh lebih baik. Bukan sekadar tampil dengan idea mahu menjadikan Kedah pengeksport ketum,” katanya lagi.