SEREMBAN - Langkah kerajaan yang akan meminda peraturan e-hailing bagi membolehkan golongan OKU mendapatkan lesen pemandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), sekali gus membolehkan mereka terlibat dengan perkhidmatan e-hailing, disambut baik.
Ahli Majlis tertinggi Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia, Mohd Hidzir Othman berkata, saranan tersebut merupakan satu langkah kerajaan untuk membantu mempertingkatkan ekonomi golongan OKU dengan serius.
Menurutnya, melalui cara ini juga kerajaan dilihat sebagai sebuah entiti yang sentiasa berusaha membantu OKU, selain mahu melihat golongan ini terus mendapat hak sama dengan mereka yang normal.
"Kita menyambut baik apa jua saranan yang mendatangkan kebaikan kepada OKU, malah kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana sedaya upaya membantu dan meminda peraturan sedia ada dalam e-hailing itu untuk kami.
"Setiap kebaikan yang dibuat oleh kerajaan perlu disokong demi kebaikan serta kemajuan OKU seluruh negara, dengan ini secara tidak langsung, golongan OKU juga boleh menjana pendapatan melalui perkhidmatan ini,”
katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, kerajaan perlu bertindak dan membuktikan bahawa setiap apa yang dijanjikan menjadi kenyataan khususnya melibatkan pembangunan ekonomi OKU.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berjanji peraturan yang tidak membenarkan OKU mendapatkan lesen PSV akan dipinda bagi membolehkan golongan itu menjadi pemandu e-hailing.
Masalah itu timbul selepas kerajaan menetapkan semua pemandu e-hailing mesti memiliki lesen PSV mulai Julai ini.
Lesen itu membenarkan pemegang lesen memandu kenderaan pengangkutan untuk penumpang, tetapi menurut JPJ, golongan OKU yang memegang lesen memandu OKU tidak dibenarkan memohon, memandu atau mengendalikan kenderaan e-hailing bagi menjamin keselamatan jalan raya.