JOHOR BAHRU - Hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di bandar raya ini tengah hari Selasa, disifatkan sebagai antara yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun.
Rakaman video oleh orang awam yang dikongsikan di Facebook turut memaparkan beberapa jalan utama dinaiki air antaranya Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kolam Air dan Jalan Yahya Awal.
Malah kawasan letak kenderaan di bandar raya ini turut digenangi air banjir antaranya di Hospital Sultanah Aminah (HSA), parkir awam di Jalan Ayer Molek dan Kampung Baru Mohd Amin.
Tinjauan Bernama bagaimanapun mendapati air surut sepenuhnya pada kira-kira jam 2.30 petang tadi dan rata-rata pemilik bertindak memeriksa keadaan kerosakan pada kereta mereka dan ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menggunakan khidmat tunda kenderaan.
Pekerja swasta, Aliyas Said, 46, yang meletakkan keretanya di kawasan parkir awam di Jalan Ayer Molek berkata, banjir kilat kali ini adalah paling teruk dalam tempoh 10 tahun, kerana air naik sehingga ke paras bonet kereta.
"Kejadian (banjir kilat) berlaku tengah hari tadi, masa itu hujan turun lebat sangat dan tengok kereta pun sudah tenggelam.
"Paras air melepasi tayar (sehingga kereta dimasuki air), saya kerja di bangunan berdekatan. Jadi, tunggu hujan reda sedikit dan panggil kawan-kawan untuk tolak kereta,” katanya.
Bagi S Durghs, 28, pula, beliau terkejut apabila mengetahui keretanya yang diletakkan di kawasan parkir awam itu dinaiki air, turut terkesan.
"Sejak pagi saya sudah letakkan kereta di sini, (ketika kejadian) saya berada di luar dan dapat mesej tempat parkir banjir hingga paras pinggang, ini kali pertama kereta kena air banjir...sebelum ini ada hujan tapi tidak teruk macam ini,” katanya pekerja swasta itu.
Sementara itu, Nour Hashidah Fahruddin, 37, yang pertama kali mengalami kereta dimasuki air mengharapkan agar pihak berwajib dapat mengatasi masalah banjir kilat di bandar raya itu.
"Sebenarnya, sudah banyak kali air naik di kawasan ini, tapi kali ini air naik mendadak. Sebelum ini, air naik ke paras tayar dan tidak masuk dalam kereta, (tetapi) kali ini masuk...sudah 10 tahun saya bekerja di kawasan ini dan ini kali pertama air masuk dalam kereta,” kata pekerja swasta itu.
Hujan lebat selama dua jam sejak 12.30 tengah hari tadi, menyebabkan beberapa jalan utama di bandar raya ini dinaiki air dan lebih 500 kenderaan turut terjejas. - Bernama