PELARI pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi mengharapkan doa daripada rakyat Malaysia untuk menempa kejayaan pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia.
Azeem mara ke separuh akhir selepas mengungguli peringkat saringan lapan di Stadium Pascual Guerrero pada awal pagi Selasa dengan catatan rekod baharu kebangsaan, 10.09 saat (s).
Catatan itu sekali gus memecahkan rekod lama, 10.18s yang sebelum ini dilakukan Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak.
"Terima kasih semua atas ucapan. Alhamdulillah untuk segala-galanya. Kita fokus separuh akhir dan harapnya ke final.
"Hanya yang saya minta kepada semua rakyat Malaysia ialah doa dan (ucapan) positif. Itu senjata paling kuat untuk diri ini,” katanya menerusi perkongsian di IG Story miliknya pada Selasa.
Azeem akan beraksi dalam saingan separuh akhir tiga bersama atlet Kanada, Almond Small, Nazzio John (Grenada), Bouwahjgie Nkrumie (Jamaica), Alessio Faggin (Itali), Mukethwha Tshifura (Afrika Selatan), Hiroto Fujiwara (Jepun) dan Tomas Mondino dari Argentina dalam saingan separuh akhir tiga yang dijadualkan berlangsung sekitar jam 4 pagi waktu Malaysia (Rabu).
Terdahulu, atlet berusia 18 tahun dari Ipoh, Perak itu mempamerkan larian penuh bertenaga untuk mengungguli saingan peringkat kelapan.
Catatan 10.09s yang dilakukan Azeem itu merupakan kedua terpantas daripada 60 penyertaan atlet dalam acara 100m kejohanan berkenaan yang menyaksikan pelari Botswana, Lestsile Tebogo muncul pelari terpantas peringkat saringan dengan rekod baharu iaitu 10s.
Tebogo juga adalah pemegang rekod remaja dunia dalam acara itu dengan catatan 9.94s.