Tolong baik pulih kantin kami!

Iklan
Murid-murid terpaksa menunggu giliran untuk makan serta minum ketika waktu rehat.

KUALA LANGAT - Lebih 1,000 murid di Sekolah Kebangsaan Telok Panglima Garang (SKTPG), di sini, terpaksa bersesak ketika waktu rehat kerana tempat terhad selepas kantin berkenaan terbakar, sejak lapan bulan lalu.

Pengusaha kantin, Nor Haizan Mahadi, 40, berkata, dalam kejadian Ogos lalu, hampir 70 peratus kantin sekolah terbabit terbakar dipercayai akibat litar pintas.

Iklan
Iklan

Katanya, dia turut kerugian lebih RM30,000 berikutan hampir semua barangan musnah.

Menurutnya, walaupun aduan sudah dibuat, namun sehingga kini, tiada usaha dilakukan pihak berkenaan untuk membaik pulih kantin terbabit.

Iklan

"Akibat kebakaran itu, tempat duduk terhad menyebabkan murid-murid terpaksa bersesak, bertolak sesama sendiri lebih-lebih lagi ketika waktu rehat.

"Disebabkan itu, ada murid terpaksa makan di merata-rata tempat, ada yang makan di tepi kantin serta di bangku di kawasan parkir kenderaan.

Iklan

"Kesian bila tengok anak-anak ini makan dalam keadaan tidak selesa terutama bagi murid-murid Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah ini,” katanya sudah empat tahun mengendalikan kantin di sekolah terbabit.

Guna khemah tempatkan murid

Nor Haizan berkata, dia terpaksa menempah tiga khemah bagi menempatkan murid pada waktu rehat.

"Memang keadaanya tak sama dengan kantin sebenar tapi sekurang-kurangnya dapat juga murid-murid berteduh ketika waktu rehat.

"Kalau ikutkan tiga khemah ini tak mampu nak tampung murid-murid. Tapi ini saja cara terbaik untuk saya bagi sedikit keselesaan pada mereka. Harap selepas ini pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Menurutnya, sebahagian khemah itu juga terpaksa dijadikan dapur sementara berikutan dapur lama turut hangus.

Shahrul Nizam melihat sebahagian ruangan kantin yang terbakar dalam kejadian Ogos lalu dan masih belum dibaik pulih.

"Oleh kerana bahagian dapur lama turut terbakar, saya terpaksa buat dapur sementara untuk kerja-kerja memasak.

"Memang tak selesa nak buat kerja sebab ruang sekarang tak sama dengan dapur dulu, agak tidak teratur. Lagipun bila hujan, air hujan akan tempias masuk ke dalam masakan.

"Tapi nak buat macam mana, perniagaan perlu diteruskan juga. Kalau tutup bagaimana murid dan guru di sini mahu makan,” katanya.

Anak mengadu tak selesa

Salah seorang bapa, Jefrizal Jaafar, 45, berkata, masalah berkenaan perlu diselesaikan segera kerana ia melibatkan keselesaan murid-murid sekolah.

"Perkara ini sudah lama, malah sebelum ini ada wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat dan Ahli Parlimen Kuala Langat sendiri turun padang, namun sehingga ke hari ini tiada apa-apa perkembangan mengenainya.

"Kantin adalah satu keperluan untuk murid-murid dan sepatutnya pihak berkenaan peka dengan perkara ini,” katanya.

Menurutnya, anaknya yang kini berada di darjah tiga mula mengadu tidak selesa kerana terpaksa bersesak di bawah khemah.

"Dia (anak) mengadu sebab nak beli makanan pun terpaksa bersesak , malah tempat duduk juga terhad.

"Kesian anak-anak sebab terpaksa berpanas bawah khemah, sampai bila mereka perlu hadap situasi ini. Kalau hujan, keadaan lagi bertambah teruk.

"Saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.