BIRMINGHAM - Atlet lelaki tunggal gimnastik negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 Muhammad Sharul Aimy yang buat pertama kalinya menyertai temasya sukan itu, menduduki tempat ketujuh dalam acara melombol.
Muhammad Sharul yang juga merupakan atlet dari Asia tunggal pada peringkat akhir itu, mendapat 13.699 mata pada acara yang berlangsung di Arena Birmingham.
Emas dimenangi atlet tuan rumah Jake Jarman dengan 14.916 mata diikuti rakan sepasukan Giarnni Regini-Moran, (14.633 mata) dan gangsa dimenangi atlet Australia, James Bacueti (14.283 mata).
Muhammad Sharul, 20, layak ke peringkat akhir selepas beliau menduduki tempat ketujuh pada pusingan kelayakan pada Jumaat, dengan mengutip 13.950 mata.
Melombol merupakan satu-satunya acara yang beliau layak ke akhir, selepas gagal untuk menyinar pada pusingan kelayakan pada acara senaman lantai dan kekuda berpelana.
Muhammad Sharul dengan 10.900 mata menduduki tempat ke-33 bagi senaman lantai, manakala bagi acara kekuda berpelana beliau menduduki tempat ke-23 selepas memperolehi 12.000 mata.
Hanya lapan atlet terbaik, dengan maksimum dua bagi setiap negara, layak ke akhir acara aparatus. - Bernama.