Felda Sungai Kelamah perintis bebas dadah

Iklan
Aminuddin mempengerusikan mesyuarat, semalam.

SEREMBAN – Felda Sungai Kelamah, Gemas terpilih sebagai projek perintis bagi menjayakan program ‘Satu Kawasan Felda Bebas Ancaman Dadah’ menjelang 2023.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kawasan Felda itu telah menunjukkan perkembangan yang baik apabila tiada peningkatan penagih baharu dan kes dadah berulang sejak Mei tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam pemantauan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan, hanya 20 orang kena pengawasan (OKP) yang direkodkan, tiada peningkatan dan tiada kes baharu.

"Felda ini memiliki 1,612 penduduk yang menempatkan 703 keluarga dan jumlah OKP hanyalah 20 orang atau 1.2 peratus sahaja, ini adalah contoh yang sangat baik.

Iklan

"Kalau boleh matlamat kita mahu menjadikan Felda bebas dadah pada 2023 dapat dicapai secara menyeluruh dengan jayanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat negeri di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Iklan

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan sedang memantau gejala hidu gam dan penyalahgunaan air ketum dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Katanya, aktiviti menghidu gam yang sering berlaku di kawasan bandar, mula menular dan dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan.