Tular: Murid gadai nyawa, seberang sungai pergi sekolah

Iklan
Tangkap layar dari rakaman video memaparkan sebahagian murid tidak memakai jaket keselamatan berada dalam sampan manakala sebahagian lagi memakai jaket keselamatan di atas tebing dipercayai sedang menunggu giliran untuk menyeberang sungai.

KOTA KINABALU - Isu murid atau pelajar sekolah terutama di kawasan pedalaman Sabah yang terpaksa bergadai nyawa dengan menyeberang sungai untuk ke sekolah seperti tidak berkesudahan.

Terbaharu, satu lagi video tular memaparkan situasi murid sekolah yang lengkap memakai uniform dilihat menyeberang sungai dipercayai berlaku di Pitas.

Iklan
Iklan

Situasi itu dipaparkan menerusi ciapan seorang pemilik akaun Twitter dan video berdurasi satu minit 48 saat itu dimuat naik pada jam 8.41 pagi, pada Rabu.

Kelihatan sebahagian murid tidak memakai jaket keselamatan berada di dalam sampan dipercayai dibawa untuk menyeberang sungai manakala sebahagian murid yang memakai jaket keselamatan berada di tebing sungai sedang menunggu giliran untuk menyeberang.

Iklan

"Walaupun exam (peperiksaan) UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga) sudah dimansuhkan, pelajar-pelajar ini tetap gigih pergi ke sekolah.

"Semoga ada tindakan lanjut dapat dilakukan dengan kadar segera," ciapnya di Twitter.

Iklan

Setakat jam 9.40 pagi Rabu, video tersebut mendapat 50 tontonan dan enam tanda suka terhadap ciapan itu.

Sebelum ini, media melaporkan isu-isu yang sama turut berlaku bukan saja di Pitas tetapi di Nabawan dan Keningau memaparkan murid atau pelajar terpaksa merentasi sungai dengan pelbagai cara termasuk meniti saluran paip serta menggunakan rakit atau 'zip line' untuk ke sekolah.