KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan pada masa ini negara menjana hampir 38,000 tan metrik sisa pepejal untuk sehari.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, daripada jumlah tersebut hampir 45 peratus terdiri daripada janaan sisa pepejal dari makanan.
"Ini juga berlaku di hampir semua negara ASEAN.
"Malahan kalau di Indonesia mencecah 60 peratus, Filipina 55 peratus, Thailand 64 peratus dan demikian juga di Vietnam,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) tentang usaha sama antara kementerian dalam mewujudkan teknologi pengkomposan sisa makanan secara lebih efektif, selamat dan mudah dalam menyelesaikan isu pembaziran.
Reezal menambah, pengurusan sisa pepejal terutamanya sisa makanan adalah merupakan satu cabaran yang besar kepada KPKT.
Menurutnya, KPKT juga dalam peringkat akhir mengemukakan dasar dan hala tuju baharu bagi pengurusan sisa pepejal negara dengan visi yang jelas.
"Untuk mempercepat peralihan daripada konsep pengurusan sisa pepejal secara ekonomi linear kepada ekonomi kitaran sebagaimana yang telah digariskan dalam bab lapan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
"Pelaksanaan ekonomi kitaran ini berupaya meningkatkan nilai keseluruhan rantaian pengurusan sisa pepejal termasuk sisa makanan yang akan mengurangkan penghantaran sisa ke tapak pelupusan,” ujarnya.