Kegiatan jejas Tasik Chini sudah dihentikan

Iklan
Takiyuddin Hassan. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Semua kegiatan yang boleh menjejaskan keadaan di Tasik Chini, Pahang sudah dihentikan dalam usaha mengekalkan status sebagai Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, arahan tegas menghentikan semua aktiviti itu termasuk tidak ada lagi kelulusan-kelulusan baharu untuk apa-apa usaha sama ada untuk mengenal pasti atau pengambilan mineral-mineral di tasik itu.

Iklan
Iklan

Katanya, tindakan untuk menyelamatkan status WNBR tersebut diambil oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri.

"Tindakan sudah diambil dengan menghentikan segala kegiatan-kegiatan yang boleh menjejaskan keadaan di Tasik Chini.

Iklan

"Kerajaan tegas tidak ada lagi kelulusan-kelulusan baharu untuk membangunkan kawasan itu sebaliknya keadaan Tasik Chini dipelihara,” katanya ketika ditemui pada Penutup Kejohanan Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Islah, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Guru Besar SK Islah, Mohamad Saufi Abdullah.

Iklan
Takiyuddin (dua kiri) beramah mesra dengan murid SK Islah, Kota Bharu pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan UNESCO mendapati Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria ditetapkan badan itu untuk menjadi sebahagian WNBR.

Hasil tinjauan berkala pertama oleh UNESCO baru-baru ini meletakkan Tasik Chini dalam risiko dilucutkan status itu namun badan dunia itu memberi tempoh sehingga 30 September ini untuk Malaysia memaklumkan perancangan merawat dan memulihkan tasik terbabit serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.

Takiyuddin berkata, usaha dan tindakan pemeliharaan Tasik Chini tersebut turut akan dibentangkan secara lebih terperinci di Parlimen pada Khamis.

"Usaha bagi tujuan itu dilaksanakan secara berterusan melalui agensi kerajaan,” katanya.

Antaranya pewartaan Hutan Simpan Chini seluas 6.502.80 hektar mengikut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984.

Selain itu, penghijauan kawasan iaitu projek pemulihan Tasik Chini dengan penanaman tutup bumi membabitkan kawasan seluas kira-kira 200 hektar dengan kos RM3.95 juta menerusi peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan yang mencapai status penghijauan sebanyak 90 peratus.