KULAI - Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang telah menjalankan tugas memimpin Johor dengan baik setakat hari ini.
Menurutnya, oleh itu, soal kedudukan Menteri Besar Johor itu tidak seharusnya dibangkitkan dalam menentukan politik di negeri ini, terus stabil.
"Dari sudut saya, Menteri Besar telah menjalankan tugas. Memanglah sebagaimana Menteri Besar lain menghadapi banyak cabaran, banyak itu. Masih lagi peringkat baharu, kita perlu meneliti banyak perkara.
"Untuk menentukan supaya politik di negeri ini stabil, maka kedudukan Menteri Besar itu tak seharusnya dibangkitkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Bersatu Johor di Senai di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, sekiranya terdapat perkara berbangkit termasuklah menyentuh perihal Menteri Besar Johor, ia boleh disalurkan kepada parti menerusi pelbagai cara meliputi konvensyen yang diadakan itu.
"Dia boleh cakap apa sahaja, kalau dia tak puas hati ke, nak mencadangkan satu perkara, menambahbaik apa yang sudah dibuat ataupun mungkin pandangan-pandangan lain. Mereka boleh kemukakan.
"Pasal kita mengamalkan dasar demokratik terbuka, tetapi kalau ada usaha-usaha untuk buat itu ini (tukar Menteri Besar), ini tidak baik. Bukan sahaja untuk individu, tetapi negeri Johor juga. Jadi kita kena terima," katanya.
Beliau berkata, bagi dirinya, Osman selaku Menteri Besar Johor telah cuba melakukan yang terbaik setakat hari ini.
Katanya, Pengerusi Bersatu Johor itu juga ada mengadakan perbincangan dan pertemuan bersamanya serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan panduan.
"Itu satu perkara yang saya fikir baik, jadi dalam itu kita memerlukan rakyat memberikan sokongan supaya kedudukan kerajaan pakatan Johor ini mantap," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mendedahkan istana sedar ada pihak cuba melobi salah seorang exco kerajaan negeri dalam cubaan untuk menggantikan Osman.
TMJ dalam akaun Twitternya berkata:"Anda bukan seorang Perdana Menteri. Apa yang membuatkan anda berfikir dengan cuba melobi seseorang menjadi Menteri Besar yang boleh menjadi boneka anda, anda boleh mengawal Johor?
"Anda melobi seorang exco kami menjadi Menteri Besar. Kami tahu itu. Ini bukan lagi 1992. Negeri Johor masih ada Sultan yang memerintah,” katanya.