Bung Moktar cadang kerajaan Sabah benarkan buru buaya

Iklan
Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan peraturan atau akta membenarkan memburu buaya bagi mengurangkan jumlah haiwan itu di Sabah.

Beliau berkata, langkah menangkap dan membunuh reptilia itu perlu dilakukan secara berkala dan sistematik bagi mengelak lebih ramai penduduk menjadi mangsa dibaham buaya.

Iklan
Iklan

"Kerajaan perlu mengambil langkah dengan mewujudkan peraturan atau akta sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak dalam menangani isu buaya yang terdapat di beberapa sungai di Sabah khususnya di Kinabatangan.

"Langkah itu bagi membenarkan menangkap dan membunuh buaya secara berkala serta sistematik bagi mengurangkan jumlah haiwan berkenaan di Sabah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu mangsa dibaham buaya termasuk dalam kejadian pada Sabtu di mana seorang wanita ditemui maut di Sungai Kinabatangan.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, susulan kejayaan negara menurunkan taraf kategori buaya daripada Apendiks I kepada Apendiks II di Mesyuarat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) di Afrika Selatan diharap keputusan itu akan membolehkan buaya di Sabah diburu serta diperdagangkan.

Iklan

"Saya berharap satu kajian akan dapat dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai isu ini dan tindakan susulan akan dapat kita lakukan bagi mengurangkan populasi buaya di Sabah.

"Ini demi menjamin keselamatan penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan berhampiran sungai," katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag turut meminta Jabatan Hidupan Liar mengambil tindakan proaktif bagi menangkap buaya yang terdapat di Sungai Kinabatangan.

"Langkah menangkap buaya itu perlu dilakukan dengan segera agar keselamatan penduduk yang mencari sumber rezeki di sungai berkenaan tidak terancam.

"Kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan proaktif dan serius untuk menangani isu ini bagi memastikan penduduk yang menggunakan Sungai Kinabatangan sama ada untuk laluan seharian atau sebagai lokasi mencari sumber pendapatan termasuk untuk aktiviti memancing dan sebagainya tidak terancam," katanya.