Inflasi, ada aku kisah?

Iklan

Setiap bulan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menerbitkan data berkenaan inflasi negara. Adakah orang awam seperti kita tahu makna angka tersebut? Apakah kita tahu impak kepada kehidupan seharian kita?

Sebagai contoh, pengumuman Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin baru-baru ini,"Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang mengukur kadar inflasi negara telah meningkat 3.4 peratus kepada 127.4 dalam bulan Jun tahun ini berbanding 123.2 pada Jun 2021 melepasi kadar purata inflasi bagi Malaysia sebanyak 1.9 peratus bagi tempoh dari Januari 2011 hingga Jun 2022.”

Iklan
Iklan

Apa makna pengumuman itu? Rata-rata jawapannya"tak tahu” atau mungkin tidak faham kerana terlalu teknikal atau mungkin malas hendak berfikir? Banyak yang perlu difikirkan terutama kos sara hidup yang meningkat. Apa yang penting mereka hendak lihat harga barang tidak naik atau turun. Maka sering kita dengar - ada aku kisah!

Makna inflasi

Iklan

Secara umumnya inflasi merupakan tanda aras kenaikan harga barangan dan perkhidmatan bagi satu tempoh masa tertentu. Kenaikan atau turunnya kadar inflasi setelah perbandingan harga barang dibuat pada bulan yang sama tahun ini dengan tahun sebelumnya. Kadar inflasi diukur melalui pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur perubahan harga barangan yang selalu dibeli dan digunakan oleh pengguna. Bukankah banyak barang jika hendak disenaraikan? DOSM mengklasifikasikan barang dan perkhidmatan kepada beberapa kategori atau Bakul Tetap Barangan dan Perkhidmatan (BB&P) untuk memudahkan pengukuran dan penilaian。

Terdapat sebanyak 226 barangan meliputi ikan kembung, ayam, telur, susu, minyak masak, kubis bulat, tomato dan sebagainya di bawah kategori makanan dan minuman bukan alkohol. Begitulah pemilihan barangan untuk setiap kumpulan dibuat berdasarkan hasil dapatan Laporan Survey Corak Perbelanjaan Isi Rumah yang dijalankan oleh DOSM.

Iklan

Setiap barang mempunyai nilai pemberat (wajaran) yang berbeza-beza bergantung kepada kecenderungan atau kepentingan kepada pengguna untuk membelinya. Semakin banyak perbelanjaan isi rumah ke atas sesuatu barang maka semakin tinggilah nilai peratus wajarannya.

Komponen perbelanjaan

Tiga kategori barangan mempunyai nilai wajaran tertinggi ialah Makanan & Minuman Bukan Alkohol iaitu 29.5 peratus, Perumahan & Utiliti 23.8 (peratus) dan Pengangkutan (14.6 peratus).

Bermakna, barangan dan perkhidmatan dalam ketiga-tiga kumpulan tersebut adalah barangan dan perkhidmatan yang amat penting kepada pengguna dan menjadi keutamaan dalam perbelanjaan isi rumah.

Setiap pendapatan bulanan pengguna akan mengutamakan makan minum, bayaran sewa/pinjaman rumah serta utiliti diikuti dengan pengangkutan meliputi bayaran kenderaan, petrol dan yang bersangkutan dengannya.

Jika dibuat analogi berdasarkan gaji bulanan RM3,000, sebanyak RM885 akan digunakan untuk perbelanjaan dapur dan makan minum di luar bersama keluarga manakala RM714 untuk perbelanjaan berkaitan perumahan serta bil utiliti. RM438 pula untuk pengangkutan seperti pinjaman kenderaan, petrol, tol, parkir, servis dan tambang kenderaan awam. Lebihan sebanyak RM963 yang dipanggil disposable income barulah digunakan untuk lain-lain perbelanjaan.

Kesan inflasi

Umumnya ramai menganggap apabila kadar inflasi mencatatkan peningkatan bermakna semua harga barangan dan perkhidmatan juga meningkat. Sebenarnya, bukan semua barangan serta perkhidmatan mengalami kenaikan harga.

Sebagai contoh, kadar inflasi pada bulan April 2021 adalah 4.7 peratus. Ia memberi gambaran seolah-olah semua harga barangan dan perkhidmatan meningkat 4.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. Peratus itu adalah purata tetapi realitinya pengguna tidak membeli kesemua barangan dalam kumpulan tersebut. Jika diperincikan data bulan April 2021 melaporkan sebanyak 32 item di bawah kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol mengalami penurunan harga bukan kenaikan harga berbanding tahun sebelumnya.

Persoalannya, apakah corak pembelian dan tingkah laku pengguna (consumer behavior) dipengaruhi atau mempengaruhi inflasi? Inflasi mencerminkan kuasa beli pengguna. Apabila berlaku peningkatan kadar inflasi bermakna harga barangan secara puratanya meningkat.

Justeru, kuasa beli pengguna akan menyusut mengurangkan kemampuan pengguna untuk membeli dari segi kuantiti dan kualiti. Inflasi juga berkait rapat dengan faktor permintaan dalam pasaran kerana apabila permintaan meningkat mengatasi penawaran maka harga barang tersebut akan meningkat. Sebaliknya jika berlaku lambakan atau lebihan bekalan maka harga barang tersebut akan turun. Ini yang berlaku kepada ayam kebelakangan ini.

Covid-19 menampakkan satu lagi faktor iaitu kos atau Cost-Push Factor. Apabila kos pembikinan dan pengeluaran meningkat maka harga produk dihasilkan akan meningkat. Ini yang sedang berlaku. Hampir semua barang meningkat dari segi harga terutama barangan mentah yang digunakan datang dari sumber import di mana nilai mata wang negara memainkan peranan penting.

Pasaran bebas yang diamalkan di Malaysia akan menyelaras harga apabila berlaku perubahan terhadap komponen permintaan dan penawaran dalam pasaran.

Pengguna bijak

Peranan pengguna yang mempunyai kuasa beli dan hak memilih mampu mempengaruhi permintaan sekali gus memberi kesan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran.

Justeru, pengguna boleh mengawal inflasi dengan mengubah tingkah laku pembelian melalui perbelanjaan terancang dan mengutamakan keperluan daripada kehendak supaya dapat mengurangkan permintaan dalam pasaran selain mengelakkan pembaziran.

Strategi dalam pembelian adalah penting dengan membuat perbandingan harga dan mengelakkan ketaasuban kepada sesuatu jenama atau premis. Memilih masa yang sesuai seperti waktu jualan serta penawaran diskaun dapat menjimatkan perbelanjaan.

Pengeluaran dan harga sesuatu barangan dan perkhidmatan seharusnya bergantung kepada permintaan dan penggunalah yang menentukannya. Pengguna bijak seharusnya prihatin tetapi tidak akan panik melihat kadar inflasi.

Pengguna bijak seharusnya tidak terkesan dengan inflasi sebaliknya tingkah laku penggunalah yang akan mempengaruhi inflasi dan harga barang. Sama-samalah kita gunakan hak sebagai pengguna yang bijak.

INFO

Sebanyak 552 barangan dan perkhidmatan terpilih dikategorikan mengikut 12 kumpulan utama:

1. Makanan & minuman bukan alkohol

2. Minuman alkohol & tembakau

3. Pakaian & kasut

4. Perumahan & utiliti

5. Hiasan perkakasan & penyelenggaraan isi rumah

6. Kesihatan

7. Pengangkutan

8. Komunikasi

9. Perkhidmatan rekreasi & kebudayaan

10. Pendidikan

11. Restoran & hotel

12. Pelbagai barangan & perkhidmatan.