KUALA LUMPUR - Prosiding kes bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa menghina seorang anggota polis mahkamah dan mempersoalkan sistem keadilan di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, ditangguhkan ke 17 Ogos depan.
Penangguhan itu berikutan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Izalina Abdullah yang mengendalikan kes komital berkenaan didapati positif Covid-19.
Semasa prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, TPR Mohd Isa Mohamed memaklumkan, Izalina perlu menjalani kuarantin selama seminggu.
"Jadi pihak kami memohon kes ini ditangguhkan ke tarikh lain," katanya.
Mendengar perkara itu, Sequerah menangguhkan perbicaraan selepas tiada bantahan diterima daripada peguam K Balaguru yang mewakili Lokman.
Pada 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Lokman kerana menghalang tugas seorang anggota polis dan mendakwa undang-undang negara tidak adil.
Ia berlaku ketika Lans Koperal Walter Lee Yun Fui menegur ahli politik itu supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika prosiding pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, jutaan ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Susulan itu, pada 8 Julai, Balaguru memaklumkan pihaknya memfailkan notis sapina kepada TPR Datuk Raja Rozela Raja Toran untuk menyoal balasnya di mahkamah, namun ia dibantah oleh Izalina atas alasan sudah memadai dengan memanggil polis mahkamah itu bagi memberikan keterangan.
Ketika prosiding pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan notis sapina oleh Lokman terhadap Raja Rozela.
Hakim berkata, tiada keperluan untuk memanggil Raja Rozela sebagai saksi kerana TPR itu hanya membantu sebagai pegawai mahkamah dan tidak bertindak sebagai saksi yang material.