AUG 2022: Skuad mendayung tuai satu emas, satu gangsa

Iklan
Mohammad Amirul bergambar bersama pingat emas yang dimenanginya di temasya AUG 2022.

KEM mendayung negara bermula cemerlang apabila berjaya menuai satu emas dan satu gangsa pada hari pertama acara itu dipertandingkan di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.

Emas yang diraih skuad mendayung itu hadir menerusi Mohammad Amirul Norhadi dalam acara lightweight scull individu lelaki, selepas dia menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3:48 saat meninggalkan atlet Filipina di tempat kedua (3:52.06 saat) dan gangsa dimenangi atlet Thailand (3:57.53 saat).

Iklan
Iklan

Pengurus pasukan mendayung, Shaid Jaffar berkata, beliau sangat gembira dengan pencapaian yang diraih Mohammad Amirul kerana atlet yang bertanding dalam acara itu bukan biasa-biasa, malah ada di antara mereka pernah menyertai Olimpik dan kejohanan dunia.

"Pingat emas yang diraih Mohammad Amirul ini juga merupakan yang pertama buat sukan mendayung di temasya AUG kali ini.

Iklan

"Jadi saya harap dengan pingat emas ini mampu membakar lagi semangat atlet mendayung yang akan beraksi sekaligus mampu menyumbang pingat untuk Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, hasrat Malaysia untuk menambah satu lagi pingat emas tidak kesampaian selepas gandingan Nurul Amira Norhadi dan Ayesha Mohd Ramli menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 4:27.97 saat.

Iklan

Emas acara itu dimenangi atlet Filipina dengan catatan masa 4:06.05 saat, manakala perak dimenangi atlet Thailand (4:12.30 saat).