Tampar budak, pengusaha taska menangis didenda RM7,000

Iklan
Azlinawaty Julaihi, 41, didenda RM7,000 selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamed Khalid.

KUALA LUMPUR - Seorang pengusaha taska menangis ketika merayu agar dikenakan hukuman ringan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana menampar seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, sehingga menyebabkan kecederaan, dua bulan lalu.

Azlinawaty Julaihi, 41, didenda RM7,000 selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamed Khalid.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Semasa prosiding, Emelia Kaswati berkata, mahkamah perlu menjatuhi hukuman berbentuk pengajaran dan menjadi teladan kepada pengasuh lain, agar tidak melakukan kesalahan sama.

Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai pengasuh telah menganiaya sehingga mengakibatkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan bengkak di mata dan lebam di tulang pipi, pada jam 12.30 tengah hari, 15 Jun lalu, di sebuah taska di Sentul, di sini.

Atas kesalahan itu, dia boleh dihukum bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan ibu mangsa mendapati mata, tulang pipi dan atas bibir anaknya mengalami kecederaan.

Pengadu telah bertanya kepada Azlinawaty dan dia memaklumkan mangsa terhantuk dengan anak asuhan lain ketika bermain tetapi akhirnya dia mengaku telah menampar kanak-kanak tersebut.

Hasil siasatan polis, tertuduh telah menampar mangsa beberapa kali kerana kanak-kanak itu mengeluarkan semula makanan yang disuap.

Ketika rayuan, wanita itu yang tidak diwakili peguam, memohon agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak berniat untuk mencederakan mangsa selain kesal dengan perbuatan tersebut.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira mangsa dalam kes ini merupakan seorang kanak-kanak berusia dua tahun.

"Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke taska kerana mencari rezeki dan anak-anak ini adalah amanah kepada tertuduh untuk dijaga dengan baik,” katanya.