Generasi ketujuh Mahsuri pulang ke Langkawi

Iklan
Mior Johan (kiri) bergambar bersama Wan Aishah yang berkunjung ke restorannya ketika bercuti di Pulau Langkawi. - Foto Ihsan Mior Johan Johari

LANGKAWI - Kepulangan semula generasi ketujuh Mahsuri, Wan Aishah Wan Nawawi, 37, bersama keluarganya yang menetap di Phuket, Thailand ke Pulau Langkawi di sini menarik perhatian ramai.

Wan Aishah atau nama Thailand, Sirintra Yayee atau Nong May bersama suami, Alee Tongyon, 39, dan anak lelaki mereka bercuti di Langkawi selama dua hari sejak Khamis lepas.

Iklan
Iklan

Wan Aishah yang lahir pada 1986 dikatakan menamatkan sumpah tujuh keturunan Mahsuri ke atas Pulau Langkawi selepas dibunuh angkara fitnah.

Kepulangan Wan Aishah, suami bersama anak lelakinya yang juga generasi kelapan Mahsuri ke Langkawi menjadi tular di media sosial sejak Isnin apabila dikongsikan pengguna media sosial dan Wan Aishah sendiri.

Iklan

Antaranya, satu video berdurasi 23 saat dikongsikan pemilik Restoran Bamboo Chenang iaitu Mior Johan Johari, 32, yang memaparkan tiga beranak itu mengunjungi restorannya.

Video dikongsikan di aplikasi TikTok dengan menggunakan akaun @miorjohan dengan tanda pagar #AisyahketurunanMahsuriyangke-7 telah mencecah 893,900 tontonan.

Iklan

Mior Johan berkata, beliau mengenali keturunan ketujuh Mahsuri itu dan keluarganya di Phuket sejak sembilan tahun lepas lagi.

Wan Aishah (tengah) dan suaminya, Alee Tongyon (kanan) menjamu selera di Restoran Bamboo Chenang ketika bercuti di Pulau Langkawi. - Foto Ihsan Mior Johan Johari

Menurutnya, keluarga mentuanya sudah lama mengenali keluarga Wan Aishah memandangkan bapa mentuanya mengusahakan agensi pelancongan Mahsuri Travel dan membawa pelancong melawat Phuket.

"Sebenarnya, Wan Aishah bersama suaminya kerap datang ke Pulau Langkawi sebelum ini, namun kurang diketahui umum dan kami mengetahui kedatangan Wan Aishah ke Langkawi dua hari lebih awal selepas dimaklumkan oleh bapanya sebelum ini.

"Hubungan kekeluargaan antara keluarga kami dan Wan Aishah memang rapat diibaratkan umpama adik-beradik dan kami dilayan dengan baik setiap kali ke Phuket, begitu juga apabila Wan Aishah ke Langkawi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambah Mior Johan, beliau tidak menyangka video dikongsikan mengenai kepulangan Wan Aishah di aplikasi TikTok menjadi bualan hangat dan menyebabkan ramai orang teruja.

Berdasarkan semakan di Facebook mendapati Wan Aishah yang menggunakan akaun Nu May turut memuat naik gambarnya menaiki kapal layar ketika bercuti di Pulau Langkawi pada Sabtu lepas.

Malah, Underwater World Langkawi turut memuat naik video berdurasi 17 saat yang memaparkan Wan Aishah, suami dan anaknya melawati Underwater World Langkawi menerusi akaun rasmi pusat pelancongan tersebut.