GWGF desak Felda jawab dakwaan pembelian kondo mewah

Iklan
Rozali mahu pihak pengurusan Felda memberi penjelasan terhadap semua dakwaan yang dilemparkan Rafizi.

SHAH ALAM - Majlis Tertinggi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) memberi tempoh 14 hari kepada pihak pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan pembelian kondominium mewah oleh Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pada 2014.

Presiden GWGF, Tan Sri Rozali Ismail berkata, ia selepas dakwaan mengenai pembelian kondominium itu dibuat Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Iklan
Iklan

"Felda perlu memberikan penjelasan berhubung kenyataan Rafizi ini kepada peneroka-peneroka Felda khususnya serta rakyat Malaysia amnya dalam masa 14 hari dari sekarang.

"Kegagalan untuk memberikan kenyataan dan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan itu akan memperlihatkan kepincangan pengurusan Felda," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Rafizi sebelum ini beberapa kali mendedahkan mengenai pembelian kondominium mewah itu yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM330 juta pada tahun 2014 dimiliki oleh FIC London Hotel PTE Limited yang ditubuhkan di British Virgin Island (BVI).

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Pandan berkenaan turut mendakwa Felda membuat pelaburan di London bernilai lebih RM1 bilion yang dilihat bukan sahaja sebagai satu keputusan pelaburan yang membazir (kerana harga yang dibayar terlalu mahal dan dicemari penyelewengan), malah secara rasmi Felda tidak memiliki hartanah yang dibeli.

Iklan

Rafizi juga dilaporkan telah membuat carian rasmi di Pejabat Pendaftar Tanah United Kingdom (UK) dan mendapati bahawa mengikut dokumen hak milik rasmi, sekurang-kurangnya dua hartanah mahal yang dibayar oleh Felda telah didaftarkan atas nama syarikat berdaftar BVI, yang tiada kaitan dengan Felda dan identiti pemilik syarikat itu masih tidak diketahui sehingga hari ini.

Rozali menjelaskan, susulan dakwaan-dakwaan berkenaan, GWGF mengadakan satu mesyuarat tergempar yang dipengerusikan beliau.

Oleh itu, katanya, mereka tampil membuat gesaan itu kerana pelbagai persoalan yang dilontarkan Rafizi kini menjadi tanda tanya generasi peneroka yang ingin jawapan daripada pihak Felda.