SEREMBAN - Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir menafikan dirinya meminta wang daripada mana-mana individu menerusi aplikasi Telegram sehingga ada yang mengalami kerugian berjumlah RM5,000.
Beliau berkata, akaun Telegram miliknya itu digodam individu tidak dikenali yang bertindak menghubungi kenalannya untuk meminjam wang.
"Sejak Jumaat hingga hari ini (Rabu) bertalu-talu mesej dan panggilan saya terima daripada orang ramai berhubung mesej untuk meminjam wang antara RM2,000 hingga RM3,000.
"Malangnya ada dua kenalan saya sudah menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab ini sehingga mereka mengalami kerugian berjumlah RM5,000," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, pada Rabu.
Justeru, Bakri meminta mana-mana individu yang menerima mesej atau panggilan melalui Telegram atas namanya supaya mengabaikannya bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
"Sebelum ini kenalan ada beritahu terdapat individu yang tidak dikenali menyamar sebagai saya dan mahu meminjam wang sebanyak RM2,000. Individu terbabit menyuruh wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama sebuah syarikat.
"Ingin ditegaskan bahawa syarikat berkenaan juga tiada kaitan dengan saya sama ada secara langsung atau tidak," katanya.
Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang berkata, sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Klawang pada jam 9.56 pagi Ahad di Balai Kuala Klawang.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin mengesahkan menerima laporan dibuat Bakri.