BENTONG - Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikhuatiri lemas di loji Empangan Semantan dekat Karak pada Selasa, masih belum ditemui setakat jam 6 petang Rabu.
Mangsa, Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26, ketika kejadian sedang memancing bersama rakannya berusia 32 tahun sebelum dipercayai dihanyutkan arus deras.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan disambung pada Khamis.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kecemasan pada jam 7 malam Selasa.
"Difahamkan ketika mangsa sedang memancing, tiba-tiba aras air loji naik meningkat dan mengalir deras.
"Kedua-dua mangsa cuba menyelamatkan diri dengan memanjat ke atas batu yang lebih tinggi tetapi tidak berjaya dan terus dihanyutkan air deras.
"Rakan mangsa berjaya berdiri di atas sebuah batu besar di tengah sungai sebelum diselamatkan oleh anggota bomba," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan mangsa dikhuatiri lemas ketika memancing di loji air Semantan dekat Kampung Lengkong di Karak pada Selasa.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.22 petang.
Menurutnya, seramai lima anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian.