"SAYA mohon maaf kepada rakyat Malaysia, kedua ibu bapa saya, jurulatih dan pihak pengurusan, kerana mengecewakan mereka,” demikian reaksi atlet angkat berat negara, Muhammad Hafiz Shamsuddin, sebaik tamat saingan kategori 109 kilogram (kg) lelaki di sini, pada Rabu.
Atlet negara berusia 23 tahun itu yang membuat penampilan sulung pada Sukan Komanwel 2022, menamatkan cabaran edisi Birmingham di kedudukan ke-10 daripada 11 peserta, setelah gagal merekodkan sebarang angkatan dalam kategori clean & jerk.
Ini berikutan, penyertaannya dalam kategori clean & jerk dibatalkan kerana tidak mematuhi peraturan pertandingan semasa melakukan angkatan, manakala bagi kategori snatch, beliau hanya melakukan angkatan bebanan 148kg.
Wakil Cameroon, Junior Periclex Ngadja Nyabeyeu meraih emas selepas melakukan angkatan bebanan keseluruhan 361kg, manakala peserta Samoa Jack Hitila Opeloge (358kg) dan Lovepreet Singh (355kg) dari India masing-masing merangkul perak dan gangsa.
Muhammad Hafiz berkata, beliau kecewa dengan prestasi ditampilkan di temasya kali ini, sedangkan beliau benar-benar mahu memberi impak dalam penyertaan sulungnya di Sukan Komanwel.
Beliau memberitahu, dua minggu sebelum tiba di sini, beliau mengalami demam panas yang teruk ketika menjalani latihan di Lampung, Indonesia, sama seperti dialami rakan sepasukan Muhammad Erry Hidayat.
"Bukan nak beri alasan, memang saya kecewa dengan prestasi di sini. Tetapi sebelum datang ke sini, saya demam panas yang teruk, jadi saya tidak cergas sepenuhnya. Sudah semestinya saya kecewa, tapi saya sudah melakukan yang terbaik...bukan rezeki saya,” katanya.
Muhammad Hafiz, yang meraih gangsa dalam kategori 89kg di Sukan SEA Hanoi, Vietnam, berazam untuk menampilkan aksi lebih baik, jika berpeluang menyertai temasya berkenaan empat tahun akan datang.
Atlet kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, beliau biasanya mampu melakukan angkatan snatch 152kg dan 190kg untuk clean & jerk, sama seperti dilakukan ketika Sukan SEA Hanoi.
"Selepas ini, saya mahu tingkatkan latihan...saya tidak akan mengalah. Saya mahu melakukan prestasi jauh lebih baik pada Sukan Komanwel akan datang,” katanya.
Muhammad Hafiz berkata, selepas temasya di Birmingham, beliau akan memberi tumpuan dalam persediaan mewakili Perak pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung pada September. - Bernama