FAKTOR suhu dingin pada hari kedua acara olahraga di Stadium Alexander di Sukan Komanwel Birmingham 2022, memberi cabaran besar buat atlet para negara, Muhammad Afiq Mohamad Ali Hanafiah dalam memberikan pecutan bertenaga bagi pusingan pertama 100 meter (m) T11/T12 (kecacatan fizikal) lelaki pada Rabu.
Biarpun pernah berdepan situasi tersebut ketika menjalani latihan di Eropah beberapa tahun lepas, namun Muhammad Afiq yang mengalami masalah penglihatan sejak usia dua tahun, mengakui ini merupakan kali pertama beliau merasai pengalaman sedemikian pada hari pertandingan.
"Sedikit peluh pun tak keluar, cuaca agak sejuk, ia secara tak langsung jejaskan larian saya hari ini. Kalau keluar peluh dan badan cepat panas saya yakin boleh berlari lebih baik," katanya pada Rabu.
Muhammad Afiq hampir menyamai rekod kebangsaan miliknya iaitu 11.28 saat (s) ketika membawa pulang gangsa di Gold Coast 2018, selepas mencatat masa 11.29s dengan menduduki tempat ketiga pada pusingan pertama saringan pertama.
Keputusan tersebut menyaksikan pelari pecut berusia 27 tahun itu, meloloskan diri ke peringkat akhir yang dijangka berlangsung esok, selepas menduduki tempat keempat secara keseluruhan dari lapan peserta bertanding.
Hanya dua pelari terbaik dari setiap dua saringan serta dua lagi yang terbaik secara keseluruhan layak beraksi di peringkat akhir.
Dalam pada itu, beliau berkata, ketiadaan jurulatihnya Ahmad Rafee Mohamad Ariffin, yang ketika ini berada di Solo, Indonesia, bagi memantau prestasi anak buahnya pada Sukan Para ASEAN (APG) ke-11, sedikit sebanyak mengganggu persiapannya di sini.
"Kami hanya berhubung melalui Whatsapp sahaja di mana jurulatih banyak berkongsi tips kepada saya, kalau ikutkan saya keseorangan namun mujur ada pegawai Institut Sukan Negara (ISN) membantu menguruskan saya di sini," tambahnya. - Bernama