SHAH ALAM - Kehilangan bekas personaliti TV, Zalina Shaharah Azman sejak November lalu terus menjadi tanda tanya apabila sehingga kini pihak polis masih tidak menemui sebarang petunjuk baharu berhubung kehilangannya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tiada sebarang petunjuk ditemui pihak polis walaupun dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
"Setakat ini, belum ada sebarang petunjuk baharu mengenai orang hilang (OH) tersebut, malah kita telah buat pemeriksaan di rumahnya sebanyak tiga kali.
"Kali terakhir pemeriksaan dijalankan di rumah OH adalah pada 28 Julai lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada 25 Julai Sinar Harian melaporkan, pihak polis menjalankan siasatan berhubung kehilangan Zalina Azman merangkumi pelbagai sudut, namun tiada sebarang petunjuk dapat dihasilkan.
Polis Selangor dalam kenyataan dilaporkan berkata sedang mengesan beberapa individu yang terlibat dalam kerja-kerja pengubahsuaian rumah milik OH sebelum kehilangannya untuk dirakam keterangan.
Bagaimanapun, usaha tersebut menemui jalan buntu kerana pekerja terbabit sukar dikesan berikutan kerja-kerja pembinaan berkenaan sudah agak lama terbengkalai.
Laporan berkaitan kehilangan Zalina Azman dibuat anak oleh mangsa yang mendakwa gagal menghubungi ibunya itu sejak 24 November 2021.