Syor laksana polisi generasi penamat untuk perangi rasuah

Iklan
Ally iskandar. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Polisi Generational End Game (Generasi Penamat) yang dicadangkan untuk dilaksanakan bagi mewujudkan generasi baharu yang bebas daripada rokok disyorkan turut dilaksanakan dalam konteks memerangi rasuah.

Penerbit Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ally Iskandar Mohd Mardzi berkata, ia untuk melahirkan satu generasi yang tahu bahawa rasuah adalah satu kesalahan besar dan takut untuk melakukannya.

Iklan
Iklan

"Polisi ini memerlukan political will atau keazaman politik yang sangat besar oleh pemimpin dan pihak media pastinya akan menyokong perkara ini.

"Kita perlu buat satu polisi generasi penamat untuk rasuah daripada melakukan satu pelan (mencegah rasuah) kemudian bila bertukar kerajaan, pelan itu diolah dan akhirnya ia tak sampai ke mana. Jadi biar ada komitmen yang macam ini dari kerajaan dan kemudian digerakkan bersama-sama rakyat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selaku panelis pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Rasuah: Media sudah buat kerja, next?' yang disiarkan secara eksklusif di semua platform media sosial Sinar Harian pada malam Rabu.

Kompas Rasuah Busters yang membincangkan tajuk 'Rasuah: Media sudah buat keja, next?' menampilkan (dari kiri) Zaim Zaini selaku moderator, Dzulfitri, Syed Agil dan Ally Iskandar sebagai panelis. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

Program itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Editor merangkap penyampai Astro Awani, Dzulfitri Yusop dan Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff dan dikendalikan moderator, Zaim Zaini.

Iklan

Ally Iskandar menjelaskan, cadangan itu disuarakan sebagai langkah ke depan dalam membendung budaya rasuah di negara ini.

Menurutnya, ini kerana dalam perbincangan dan pelaporan tentang rasuah sebelum ini kira-kira 85 peratus mempersoalkan mengapa perbuatan rasuah itu berlaku dan hanya 15 peratus memberikan syor atau saranan untuk mengatasi masalah berkenaan.

"Jadi sebagai inisiatif seterusnya bagi membendung rasuah, peratusan syor di platform media perlu dibesarkan lagi agar program berkesan dapat dilaksanakan untuk mendedahkan masyarakat tentang bahaya rasuah

"Itu yang harus kita fokuskan dan saya ambil contoh polisi generasi penamat yang mungkin boleh digunakan juga dalam konteks rasuah," tegasnya.

Sementara itu, Ally Iskandar menjelaskan, pihak media turut menjalankan tanggungjawab dalam isu rasuah kerana media adalah pembuat draf untuk lembaran sejarah.

Katanya, ia kemudian akan dibaca oleh generasi akan datang dalam buku sejarah, jadi kebertanggungjawaban media merupakan satu perkara yang sangat penting.