CADANGAN bekerja empat hari seminggu menimbulkan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak terutama bagi mereka yang bekerja sebagai penjawat awam.
Bagaimanapun, cadangan tempoh bekerja itu tidak berapa diambil perhatian oleh mereka yang bekerja sendiri, peniaga, petani serta pemandu lori.
Ia mungkin kerana kumpulan ini berpendapat 'tiada kerja maka tiada gaji' dengan perumpamaan lain 'kais pagi makan pagi' atau 'kais petang makan petang'.
Formula bekerja empat hari dikemukakan oleh negara maju khususnya dari negara Eropah iaitu Ireland dan Switzerland.
Malah beberapa majikan di United Kingdom dan New Zealand masih dalam percubaan ke arah tempoh bekerja berkenaan.
Secara dasarnya bagi negara-negara berkenaan, ia mungkin tidak menjadi masalah kerana rakyatnya pendapatan tinggi, tanpa perlu mencari sumber pendapatan lain untuk menampung kehidupan seharian.
Ini mengambil kira dari segi penggunaan teknologi sepenuhnya, mata wang yang kukuh dan dilihat tiada masalah dari segi produktiviti negara.
Berlainan pula keadaannya di negara ini, kebanyakan bergaji rendah dengan minimum ialah RM1,500 dan memerlukan sumber pendapatan lain bagi menyara kos sara hidup yang tinggi.
Malah ada yang membuat kerja sambilan di waktu cuti rehat dan cuti khas.
Selain itu, kesan Covid-19 telah menyebabkan produktiviti negara merosot.
Jika kita melaksanakan tempoh bekerja empat hari seminggu, kemungkinan besar produktiviti negara akan terjejas bagi sektor-sektor tertentu.
Malahan di kala waktu hutang negara mencecah lebih RM1 trilion, adalah mustahil jika tempoh bekerja di negara ini disingkatkan kepada empat hari.
Ini tidak termasuk tekanan kadar faedah (OPR), inflasi, nilai mata wang rendah yang banyak menjurus kepada kenaikan kos sara hidup.
Di sebalik itu, negara Asia lain seperti China, Korea Selatan, Jepun malahan negara jiran terdekat begitu agresif meningkatkan produktiviti tanpa mengira tempoh bekerja untuk bangkit semula daripada kesan pandemik.
Apapun, cadangan bekerja empat hari seminggu memerlukan kajian yang teliti dari pelbagai aspek contohnya budaya kerja, disiplin pekerja, taraf kehidupan sosial dan latar belakang negara bagi memastikan pro dan kontra pelaksanaannya.