Kenapa mudah kena tipu dengan scammer

Iklan
Bermodalkan air liur dan ayat manis, scammer berjaya memperdayakan mangsa yang dilihat senang ‘cair’ dan mudah simpati.(Gambar hiasan)

WALAUPUN kerap dilaporkan mengenai penipuan scammer di media secara meluas, namun masih ada lagi individu yang menjadi mangsa.

Kerugian wang pula bukan setakat seratus dua, malah ada yang mencecah jutaan ringgit kerana terpedaya dengan kata-kata si penipu.

Iklan
Iklan

Individu yang menjadi mangsa pula bukan calang-calang orang.

Ada yang terdiri daripada golongan profesional seperti pensyarah, pengarah syarikat malah doktor dan akauntan juga terjerat dengan si penipu ini.

Iklan

Seperti yang disiarkan akhbar ini pada minggu lalu, seorang wanita warga emas yang juga pengarah sebuah syarikat dari Perak kehilangan semua wang simpanan miliknya berjumlah RM5.29 juta setelah terpedaya dan menjadi mangsa penipuan Love Scam sejak awal Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mangsa berusia 64 tahun itu dipercayai berkenalan dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat menerusi media sosial.

Iklan

Mangsa telah berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai sebagai paramedik di sebuah hospital swasta menerusi laman sosial Online Dating.

Suspek kemudian bertindak memperdaya mangsa dengan menyatakan ada menerima kontrak besar pembekalan peralatan perubatan bernilai AS$22 juta (RM97.9 juta) dan perlukan dana modal permulaan.

Dengan bermodalkan air liur dan ayat manis, scammer ini berjaya memperdayakan mangsa yang dilihat senang ‘cair’ dan mudah simpati.

Faktor rakyat Malaysia yang pemurah mungkin menjadi antara sebab mengapa sering menjadi mangsa scammer.

Malah dilaporkan golongan wanita paling ramai terjerat dengan tipu helah sindiket penipuan dalam talian dengan merekodkan 55 peratus kes berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tidak hairanlah negara kita mencatatkan kerugian tertinggi dalam Macau Scam berbanding jenayah penipuan lain yang mencecah RM155 juta melalui 3,604 kes sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Berkongsi hal itu, Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, kerugian akibat kes Macau Scam jauh lebih tinggi berbanding kes tipu pelaburan dengan kerugian RM97.9 juta membabitkan 1,493 kes dalam tempoh sama.

Selain itu, Love Scam juga merekodkan 361 kes dengan kerugian RM17.1 juta, manakala jenayah e-dagang mencatatkan 3,835 kes membabitkan kerugian berjumlah RM48.2 juta.

Scammer muda

Dalam pada itu, bagi ‘memperkasakan’ lagi aktiviti penipuan ini, si scammer dilihat merekrut golongan muda untuk terlibat dalam jenayah berkenaan dengan menawarkan gaji lumayan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket penipuan dalam talian menyasarkan golongan muda yang sedang mencari kerja untuk menjadi scammer menerusi tawaran lumayan dengan gaji dan komisen lebih RM10,000 sebulan.

Beliau berkata, golongan ini tidak merasa bersalah melakukan kerja berkenaan selepas tertarik dengan tawaran lumayan.

Bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa scammer, kerajaan giat mengadakan kempen seperti Kempen #TakNakScam. Malah penyanyi terkenal, Datuk Awie juga giat membuat Kempen Pencegahan Jenayah Komersial @ Awie Ride dengan berkonvoi menaiki motosikal berkuasa tinggi ke setiap negeri dalam meningkatkan kesedaran mengenai risiko penipuan scammer khususnya masyarakat di luar bandar.

Sekarang ini juga banyak aplikasi yang boleh digunakan bagi menapis panggilan yang masuk menerusi telefon seperti Truecaller atau WhosCall.

Polis juga menasihatkan orang ramai untuk muat turun aplikasi yang boleh menyekat panggilan dan pesanan spam.

Orang ramai juga digalakkan menggunakan kemudahan semak mule menerusi https://semakmule.rmp.gov.my/ untuk membuat semakan terhadap mana-mana akaun bank atau nombor telefon yang mencurigakan.

Penulis bersyukur masih belum terjerat menjadi mangsa scammer, namun dalam masa sama sentiasa berhati-hati kerana si penipu licik mencari idea baharu.

Siapa yang tidak berputih mata jika ditipu kerana bukan mudah untuk mengumpul duit hasil titik peluh kita selama bertahun-tahun menyimpan.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Penyunting Sinar Harian