Jambatan gantung hanyut, murid ke sekolah guna sampan

Iklan
Maratin membawa murid menyeberang Sungai Bengkoka, Pitas, dengan menaiki sampan untuk mereka ke sekolah.

KUDAT - Jambatan gantung dihanyutkan banjir pada tahun lalu menyebabkan kira-kira 30 murid dari Kampung Mangkabusu, Pitas, terpaksa berulang alik menggunakan sebuah sampan kecil menyeberang Sungai Bengkoka untuk ke sekolah.

Situasi dilalui sejak lebih setengah tahun itu sekali gus menyebabkan sesi persekolahan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Mandurian, Pitas, terganggu apabila mereka kerap tidak dapat hadir ke sekolah jika paras air sungai meningkat dan deras.

Iklan
Iklan

Penduduk, Maratin Manjungkat, 40, berkata, terpaksa berulang alik sebanyak 12 kali sehari dengan menggunakan sampan untuk menghantar dan mengambil murid-murid berkenaan ketika pergi dan pulang dari sekolah.

"Saya bawa semua murid untuk menyeberang sungai itu dan sampan digunakan untuk menghantar mereka kecil saja. Sepatutnya sampan itu hanya mampu menampung empat kanak-kanak dalam satu-satu masa.

Iklan

"Saya terpaksa berulang alik sebanyak enam kali setiap pagi dan enam kali lagi pada tengah hari untuk membawa murid-murid berkenaan secara bergilir-gilir kerana bimbang sampan melebihi muatan dan membahayakan mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.

Ditanya mengenai video yang tular sejak Rabu mengenai situasi yang dihadapi sekumpulan murid yang menyeberangi sungai itu, Maratin memaklumkan ia dirakam pada Isnin lalu oleh salah seorang penduduk.

Iklan

"Sekarang adalah minggu murid sedang menghadapi peperiksaan. Jadi hari itu, saya terpaksa bawa mereka menyeberang walau apapun cara kerana bimbang mereka ketinggalan mengikuti peperiksaan.

"Lagi pun ketika itu mereka sudah lewat untuk ke sekolah jadi saya cuba sedaya upaya bawa mereka menyeberangi sungai dan selepas itu ada penduduk kampung bersilih ganti mengiringi mereka ke sekolah yang terletak sejauh lebih setengah jam perjalanan," katanya.

Katanya lagi, jika bukan waktu peperiksaan, semua murid termasuk anak lelakinya berada di Tahun Lima tidak dapat ke sekolah setiap hari.

"Bahaya untuk mereka menyeberang terutama ketika paras air sungai naik dan pernah berlaku kejadian lemas di sungai ini membabitkan kanak-kanak.

Sebahagian murid dibawa Maratin untuk menyeberang sungai menggunakan sampan hanya mampu memuatkan beberapa murid saja dalam satu-satu masa.

"Jadi ada beberapa hari mereka tidak akan dapat ke sekolah. Mujur guru di sekolah memahami keadaan kami dan kami akan maklumkan segera jika anak-anak tidak dapat ke sekolah," katanya.

Sehubungan itu, Maratin berharap keadaan yang dihadapi murid dan penduduk di kampung itu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

"Kami sebenarnya sudahpun maklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan ini berkaitan jambatan gantung yang hanyut dan beliau mengatakan akan membinanya tetapi keadaan cuaca ketika ini kurang mengizinkan.

"Jadi keperluan utama kami ketika ini sementara menunggu jambatan gantung dibina semula adalah sampan yang lebih besar dan jaket keselamatan untuk sebahagian murid yang tidak memiliki alat berkenaan," katanya.

Sebelum itu, Maratin memaklumkan terdapat 34 rumah dan lebih 100 penduduk yang menetap di Kampung Mangkabusu bergantung sepenuhnya kepada jambatan gantung yang dibina sebelum ini.

"Selepas jambatan itu dihanyutkan banjir, kami terpaksa bergantung dengan sampan untuk berulang alik termasuk untuk ke pekan membeli barang keperluan.

"Jadi selain sampan dan jaket keselamatan, kami sangat memerlukan jambatan gantung dibina semula bagi memudahkan seluruh penduduk di kampung ini," katanya.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan satu video berdurasi satu minit 48 saat memaparkan sekumpulan murid tanpa memakai jaket keselamatan terpaksa bergadai nyawa menyeberang sungai dengan menaiki sebuah sampan untuk ke sekolah.

Sebahagian murid lagi yang lengkap memakai jaket keselamatan dilihat sedang menunggu giliran untuk menyeberang sungai.