PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka melancarkan gagasan baharu berteraskan agenda Melayu dan Islam, petang ini.
Pelancaran itu dibuat Dr Mahathir yang juga selaku Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) jam 4 petang di Yayasan Kepimpinan Perdana, dekat sini pada Khamis.
Iklan
Iklan
Ia dilihat sebagai salah satu strategi Pejuang bersama Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Tokoh negarawan itu sebelum ini menyifatkan penubuhan gagasan tersebut sebagai usaha menyatupadukan semula kaum Melayu untuk berjuang mempertahan Malaysia.
"Langkah ini perlu diambil jika ingin selamatkan negara kita, bangsa kita, agama kita,” katanya.
Pada awal Jun lalu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi mengakui kepentingan kerjasama antara pembangkang di bawah khemah besar.
Bagaimanapun beliau menolak kerjasama sekiranya khemah besar itu turut diterajui oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.