ALOR GAJAH - Kira-kira 40 buah rumah penduduk di Kampung Sungai Jernih, Lubok Cina Masjid Tanah di sini, menyahut cabaran menyertai program Rumahku Bebas Tanpa Amalan Merokok (MyHOUSE) bagi mewujudkan masyarakat bebas asap rokok.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Jernih, Jaafar Atan, 61, berkata, program itu dilihat mendapat sambutan menggalakkan apabila operasi mengutip putung rokok sekitar kawasan kampung semakin berkurangan berbanding sebelum ini lebih dua kilogram (kg) putung rokok telah dikumpulkan.
Menurutnya, lebih kurang 10 penduduk pelbagai latar belakang berjaya berhenti merokok selepas pelaksanaan program Komuniti Bebas Asap Rokok (KBAR) yang dilaksanakan sejak tahun 2012.
Malah katanya, tiada kedai yang menjual rokok di kampung itu selain pernah menerima anugerah Blue Ribbon Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2018.
"Rumah-rumah yang menyertai program ini turut dilekatkan pelekat rumah bebas asap rokok dan MyHOUSE bagi membantu usaha KKM melaksanakan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sekali gus mewujudkan kehidupan sihat dan dapat melahirkan Generasi Penamat (GEG)," katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Khamis.
Tambahnya, sebarang majlis keraian diadakan dalam kawasan kampung seperti balai raya atau masjid turut bebas daripada asap rokok.
Menurutnya, kebanyakan rumah penduduk yang mengadakan majlis perkahwinan akan dipasang gegantung yang menyatakan majlis itu bebas asap rokok selepas mendapat persetujuan tuan rumah.
"Sekiranya tuan rumah bersetuju, kami memasangnya dan tetamu yang hadir diminta mematuhi peraturan berkenaan.
"Jika ada tetamu yang tetap ingin merokok, mereka diminta berbuat demikian jauh dari khemah majlis perkahwinan," katanya.
Jelasnya, KKM turut mensyaratkan kampung itu tidak menerima sumbangan, tajaan atau pengaruh industri tembakau.
"KKM juga mensyaratkan polisi bertulis mengenai bebas asap rokok dipamerkan di lokasi tumpuan umum.
"Apa yang menggembirakan usaha baik ini turut dicontohi kampung-kampung lain seperti Kampung Sungai Siput, Paya Lebar dan sebagainya," katanya.
Baru-baru ini KKM bersetuju membuat empat pindaan ke atas RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, termasuk mengurangkan kadar denda am.
RUU itu bakal memperkenalkan inisiatif GEG melalui penguatkuasaan larangan merokok ke atas individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya.