Tengku Zafrul didakwa lupa integriti, kredibiliti

Iklan
Dari kiri: Wan Saiful, Tengku Zafrul

SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz didakwa sudah lupa integriti dan kredibiliti selepas dilantik sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor baru-baru ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Tengku Zafrul didakwa juga sudah selesa 'bersujud' kepada kleptokrat selepas dibutakan dengan jawatan dan kekayaan.

Iklan
Iklan

"Apabila Zafrul dilantik menjadi Menteri Kewangan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, negara memerlukan sepasang tangan profesional untuk mengendali hal ehwal kewangan, terutama dalam fasa permulaan krisis Covid-19 yang membawa kepada krisis ekonomi. Semasa dia diasak oleh pelbagai pihak terutama UMNO, kamilah yang mempertahankan integriti dan kredibiliti dia.

"Tapi akhirnya daripada seorang Zafrul yang berwibawa, kuasa dan jawatan telah mengubah dirinya menjadi Zafrul yang sujud bersekongkol dengan kleptokrat. Itulah penzafrulan seorang manusia akibat kuasa dan jawatan.

Iklan

"Siapa sangka Zafrul boleh senyum gembira apabila (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi mengumumkan dia akan bawa 'gula' kepada UMNO. Siapa sangka Zafrul boleh tersengih apabila (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dia akan bawa 'minyak' kepada UMNO.

"Siapa sangka Zafrul boleh buat muka toya apabila (Datuk Seri) Mohamad Hasan mengatakan bahawa 1MDB ialah isu tidak penting lagi. Banggakah Zafrul dengan pengumuman bahawa dia akan dikeldaikan untuk membawa minyak dan gula kepada UMNO?" katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Wan Saiful juga mendakwa Tengku Zafrul sudah mula bertindak 'menyucikan' imej beberapa pemimpin UMNO yang sebelum ini dipalit dengan kes mahkamah.

"Siapa sangka Zafrul complicit dalam mensucikan imej Zahid Hamidi dengan cara membiarkan dua agensi di bawah (Kementerian Kewangan) MOF, iaitu (Lembaga Hasil Dalam Negeri) LHDN dan Kastam, bercakap dalam majlis yang sama dengan Zahid Hamidi di 'Malaysia Tax Policy Forum'. Ini strategi mensucikan diri yang sama dengan (Datuk Seri) Najib Razak.

"Tidak cukup dengan itu, Zafrul mula cuba melunakkan pandangan rakyat terhadap rompakan yang dilakukan oleh Najib Razak. Media melaporkan 'Dewan Rakyat dimaklumkan hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan Suria Synergy Energy Recources Sdn Bhd (SSER) tidak meningkatkan jumlah hutang kerajaan secara langsung'.

"Wah.... baru beberapa hari ambil jawatan parti, sudah beri spin positif nampaknya," katanya.

Dalam masa sama, Wan Saiful turut menyifatkan Tengku Zafrul sebagai biadab terhadap Muhyiddin yang telah memberikan karpet merah kepadanya untuk terus ke puncak kuasa.

Malah, beliau berkata, Tengku Zafrul tidak datang berbincang dengan Muhyiddin sebelum menerima jawatan yang ditawarkan oleh BN.

"Adab Melayu diketepikan demi mahu mengekalkan jawatan dan kedudukan. Rupanya apabila bangsawan sujud kepada kleptokrat, yang terhasil ialah biadab.

"Itulah dia penzafrulan seorang manusia. Itulah kesan kuasa dan jawatan kepada seseorang individu jika individu itu tidak dipandu oleh prinsip dan adab. Terlupa mengenai jeleknya kleptokrasi. Terlupa mengenai integriti. Terlupa mengenai budi.

"Tanpa prinsip dan adab, dia dikelabukan oleh jawatan dan kekayaan sehingga sanggup jadi keldai UMNO.

"Ini adalah tazkirah kepada kita semua. Jika kita ada sekelumit rasa mahu berjuang untuk rakyat dan negara, berdoalah agar kita berjuang demi prinsip, dan dengan cara yang beradab, agar kita tidak dizafrulkan sekiranya mendapat kuasa dan kedudukan," katanya.