BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME) menjalin kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM) bagi membangunkan program serta aktiviti perniagaan bagi menjana sumber pendapatan rumah kebajikan itu.
Pengarah ISME, Dr Dzulkifli Mukhtar berkata, kerjasama tersebut akan dijalankan termasuk menerusi aktiviti khidmat masyarakat antara UMK dengan YAATIM.
"Ini adalah sebahagian tanggungjawab UMK untuk membantu pembangunan komuniti di bawah inisiatif UMK for Society.
"Kerjasama strategik antara UMK dengan YAATIM dimulakan dengan penganjuran bengkel Pemerkasaan Aktiviti Ekonomi dan Perniagaan YAATIM oleh ISME dan YAATIM bertempat di Rumah Anak Yatim Puteri, Taman Sabariah pada 27 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Khamis.
Beliau sebelum itu hadir pada Majlis Menandatangani Surat Niat (LoI) antara Naib Canselor UMK, Prof Dr Razli Che Razak dan Pengerusi YAATIM, Datuk Dr Abdul Razak Kechik di UMK Bachok, di sini, pada Khamis.
Menurut Dzulkifli, bengkel tersebut dapat membantu YAATIM menyusun aktiviti ekonomi dan perniagaan bagi menambah pendapatan YAATIM sebagai sebuah institusi kebajikan yang berdikari.
"Kedua-dua pihak juga akan bertukar-tukar kepakaran antara staf UMK serta YAATIM bagi meningkatkan kompetensi pengurusan organisasi dan bekerjasama dalam penyediaan kertas permohonan geran bantuan jika ada kepada kementerian atau agensi kerajaan.
"UMK juga akan memberi bimbingan untuk membangunkan projek pertanian bandar (urban farming) di atas tanah milik YAATIM,” katanya.