AMALAN bersedekah memang dituntut dalam Islam.
Dengan bersedekah, harta kita tidak akan dikurangkan.
Namun, bagaimana jika kita hendak menarik balik sedekah yang sudah kita berikan sebelum ini? Apakah pandangan dari sudut perspektif Islam? Bolehkah kita berbuat begitu?
Barangkali, perkara ini jarang berlaku tetapi bukan bermakna ia tidak pernah berlaku.
Lazimnya, dalam konteks masyarakat hari ini, jika kita mengambil semula barang yang sudah diberi kepada orang lain, kita digelar buruk siku.
Ya, buruk siku merupakan peribahasa yang sesuai dengan situasi ini.
Dalam Islam, terdapat hadis daripada Abdullah bin Umar RA katanya:"Bahawasanya Umar bin al-Khattab telah mensedekah kuda untuk fi sabilillah. Kemudian, didapatinya kuda itu dijual orang dan dia hendak membelinya semula. Namun, sebelum itu, dia pergi menemui Nabi meminta nasihat baginda. Nabi SAW bersabda kepadanya:"Janganlah engkau ambil kembali sedekahmu." (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, apabila kita bersedekah, dilarang sama sekali mengambilnya semula walaupun, barang yang disedekahkan itu diperlakukan dengan perkara yang tidak kita persetujui.
Dengan erti kata lain, lupakanlah apa yang telah kita sedekahkan sebelum ini.
Paling penting, niat kita ikhlas kerana ALLAH SWT.
Pernahkah kita lihat seekor anjing memakan muntahnya sendiri? Kita sendiri sanggupkah memakan muntah sendiri? Sudah pasti tidak, bukan?
Kenapa begitu? Kerana semua orang tahu bahawa muntah itu menjijikkan dan sudah pasti kotor.
Bahkan, Rasulullah SAW sendiri pernah mengumpamakan memakan muntah seperti menarik semula sedekah yang sudah diberikan kepada orang lain!
Sabda Rasulullah SAW:"Orang yang menarik kembali pemberiannya itu seperti anjing yang muntah, kemudian, memakan kembali muntahannya itu." (Riwayat Muslim)
Ingatlah, mengambil semula sedekah yang diberi merupakan satu perbuatan yang sangat menjijikkan!
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)