Akta Kredit Pengguna akan kawal selia perkhidmatan kredit

Iklan
Berdasarkan tinjauan dijalankan terhadap 10 penyedia Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) bukan bank, nilai urus niaga pasaran BNPL melonjak kepada RM1.49 bilion pada 2021 berbanding RM55 juta pada 2020. - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Dalam menggalakkan ekosistem kredit pengguna yang mendapat kepercayaan dan keyakinan orang ramai, langkah-langkah sedang dijalankan ke arah mengukuhkan rangka kerja kawal selia industri kredit melalui penggubalan Akta Kredit Pengguna (CCA).

Kertas rundingan mengenai akta itu menyatakan bahawa terdapat peningkatan kehadiran penggiat yang tidak dikawal selia dalam bidang kredit pengguna termasuk syarikat yang menawarkan perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), syarikat pemfaktoran dan pajakan bukan bank, pembeli pinjaman terjejas (ILB) dan agensi kutipan hutang (DCA).

Iklan
Iklan

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan terhadap 10 penyedia BNPL bukan bank, nilai urus niaga pasaran BNPL melonjak kepada RM1.49 bilion pada 2021 berbanding RM55 juta pada 2020.

Industri BNPL global pula dianggarkan bernilai kira-kira US$157 bilion (RM699 bilion).

Iklan

Perkembangan ini mewujudkan risiko yang lebih besar untuk amalan yang tidak wajar atau mengeksploitasi yang sering menyasarkan pengguna isi rumah dan perniagaan kecil yang mudah terjejas.

"Berdasarkan ia berkembang, membawa penggiat ini dalam bidang kuasa pengawalseliaan akan membantu melindungi pengguna kredit dengan lebih baik dan memastikan pembangunan industri kredit pengguna yang teratur pada masa depan,” katanya.

Iklan

Hutang isi rumah Malaysia meningkat kepada RM1.375 trilion pada akhir 2021 berbanding RM1.27 trilion pada 2020.

Kementerian Kewangan (MoF) menerajui inisiatif itu untuk mengawal selia industri tersebut, dan CCA akan ditadbir oleh Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) selaku pihak berkuasa kompeten bebas bagi perniagaan kredit pengguna yang ditubuhkan di bawah MoF.

Inisiatif ini disokong oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

CCA akan mengguna pakai pendekatan pengawalseliaan bersekutu yang dimodelkan selepas Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), katanya.

"Cadangan transformasi seni bina kawal selia kredit pengguna akan dilaksanakan secara berperingkat dan akan menyaksikan penubuhan CCOB untuk melengkapkan peranan pengawasan kementerian sedia ada dan agensi, selepas ini akan dirujuk sebagai 'Pihak Berkuasa Pengawalseliaan dan Penyeliaan (RSA),” katanya.

Akta baharu itu, antara lainnya bertujuan untuk mewujudkan rangka kerja kebenaran bagi entiti bukan bank yang menjalankan perniagaan menyediakan perkhidmatan kredit dan kredit.

Menurut kertas yang disediakan oleh CCOB, CCA akan menyediakan rangka kerja yang komprehensif dan konsisten bagi perlindungan pengguna kredit melalui pengenaan standard minimum kelakuan ke atas penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit,

Bagi memastikan peralihan dilakukan dengan teratur, peralihan itu akan dilakukan secara berperingkat.

Fasa 1 (Selepas penguatkuasaan CCA- menjelang akhir 2023)

CCOB akan menjadi pihak berkuasa berwibawa untuk mengawasi penyedia kredit dan perkhidmatan kredit yang ketika ini belum dikawal selia oleh mana-mana pihak berkuasa, manakala agensi serta kementerian sedia ada seperti BNM, SC, SKM, KPDNHEP dan KPKT akan terus berperanan sebagai RSA bagi sektor masing-masing di bawah fasa tersebut.

Sehubungan itu, aktiviti kredit pengguna oleh bank akan kekal di bawah pengawasan BNM.

CCA akan membolehkan peruntukan bagi CCOB untuk mengeluarkan piawaian yang turut boleh diterima pakai serta dikuatkuasakan oleh RSA berkaitan dengan entiti yang dikawal selia.

Sebagai sebahagian daripada peralihan ini, Akta Sewa Beli 1967 akan dikemas kini, termasuk menjalankan kajian semula peraturan preskriptif yang sudah lapuk atau mungkin tidak memberi kepentingan terbaik kepada pengguna, katanya.

Di bawah fasa ini, KPDNHEP akan terus mengawasi aktiviti syarikat sewa beli bukan bank, agen pemilikan semula dan penyedia jualan kredit.

CCA akan memudahkan perniagaan kredit Islam oleh penyedia kredit bukan bank dengan menyertakan peruntukan untuk memastikan penyedia kredit tersebut dan penawaran produknya mematuhi prinsip Syariah.

Selaras dengan peruntukan ini, KPKT dan KPDNHEP boleh mengeluarkan piawaian atau keperluan mengenai pembiayaan Islam, aktiviti pajak gadai Islam dan perniagaan sewa beli Islam yang boleh digunakan untuk penyedia kredit bukan bank di bawah pengawasan KPKT dan KPDNHEP.

Lesen pemberian pinjaman wang dan pajak gadai sedia ada yang diperoleh di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972, serta permit yang dikeluarkan kepada individu untuk pemilikan semula barang di bawah Akta Sewa Beli 1967, akan kekal sah susulan penggubalan CCA pada Fasa 1.

Fasa 2 - Menjelang 2025

Pada fasa kedua, fungsi pengawalseliaan berkaitan aktiviti kredit pengguna di bawah KPDNHEP dan KPKT akan dipindahkan kepada CCOB, manakala BNM, SC dan SKM akan terus berperanan sebagai RSA bagi entiti di bawah bidang kuasa masing-masing.

Selaras dengan ini, Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 serta peruntukan berkaitan urus niaga jualan kredit di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 akan dimansuhkan dan CCA akan dipinda untuk memasukkan peruntukan berkaitan akta ini di bawah perundangan yang digabungkan.

Fasa 3 - Selepas 2030

Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, penambahbaikan terhadap struktur sedia ada bagi peraturan perlakuan semua syarikat kewangan di Malaysia akan dipertimbangkan.

Ini termasuk cadangan yang diambil daripada pengalaman menggunakan pendekatan"Twin Peaks” terhadap kawal selia kewangan.

Menurut kertas rundingan itu, pada fasa pertama, entiti seperti BNPL, syarikat pemfaktoran, pajakan, ILB dan DCA akan dilesenkan dan didaftarkan oleh CCOB.

Pasukan petugas akan mengadakan perbincangan kumpulan dan sesi libat urus dengan peserta industri dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan dalam masa satu hingga dua bulan akan datang.

Maklumat selanjutnya mengenai keperluan kebenaran dan standard perlakuan akan dinyatakan dalam bahagian dua kertas rundingan itu yang dijangka dikeluarkan menjelang suku keempat 2022.

Ia antara lain menggariskan kaedah kebenaran yang dicadangkan bagi penyedia kredit berlesen; dan mendaftarkan penyedia perkhidmatan kredit. - Bernama