KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK) mengesyorkan agar Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dikaji semula dan pelaksanaannya dinaik taraf.
Pengerusinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebagai penambahbaikan kepada akta tersebut, JKPK mewujudkan 'roadmap' bagi hala tuju lima tahun hasil lawatan mereka ke United Kingdom (UK) beberapa bulan lalu.
"(Naik taraf akta) pengkhususan dipertingkatkan dalam perundangan kes kanak-kanak, siasatan yang berkesan dan sensitif terhadap kanak-kanak, jenayah terhadap kanak-kanak, peningkatan akses kepada sokongan dan bantuan kepada kanak-kanak sepanjang proses keadilan jenayah.
"Selain itu, prosiding perbicaraan disesuaikan untuk mengurangkan kesusahan dan membantu kanak-kanak untuk memberikan bukti bagi pihak diri mereka," katanya semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.
Tambah Azalina, JKPK turut membentangkan kepada ahli-ahli Parlimen berhubung laporan hasil 11 mesyuarat sejak penubuhan jawatankuasa tersebut, dua tahun lalu.
Menerusi laporan tersebut, katanya, isu yang dibangkitkan adalah membabitkan kes-kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan dan agensi berkaitan.
"JKPK juga turut menimbulkan hal berkaitan kanak-kanak tanpa dokumen dalam tahanan, peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak, peningkatan kes keganasan rumah tangga dan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual serta RUU Antimengendap," ujarnya,
Beliau berkata, JKPK juga menekankan agar penyelarasan antara agensi dan sistem pengurusan maklumat diperkukuhkan dalam melindungi mangsa dan saksi kanak-kanak.