KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda beregu badminton negara, Datuk Ng Boon Bee yang meninggal dunia semalam.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa dan sumbangan mendiang kepada negara dan juga menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan badminton tanah air,” demikian menurut catatan itu.
Boon Bee, 84, yang berasal dari Ipoh, Perak dan gandingannya, Datuk Tan Yee Khan menjadi juara pada kali pertama mewakili negara di Kejohanan All England pada 1965.
Antara kejayaan pingat emas yang dimenanginya termasuk beregu lelaki Sukan Komanwel Edinburgh 1970, beregu lelaki Sukan Asia Jakarta 1962, beregu lelaki Sukan Asia Bangkok 1966, beregu lelaki dan beregu campuran Sukan Asia Bangkok 1970 dan Piala Thomas Jakarta 1967.
Selain itu, mendiang juga menang pingat perak di Sukan Olimpik Munich 1972 ketika bergandingan dengan Datuk Punch Gunalan. - Bernama